ISMA Pulau Pinang

ISMA Pulau Pinang Ke Konvensyen Pemikiran Al Banna

Posted by: ustazrahim on: February 3, 2010

Pada 30 Januari, Sabtu yang lepas seramai 49 orang ahli Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Pulau Pinang bersama ahli-ahli Pertubuhan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) telah menghadiri Konvensyen Pemikiran Al-Banna Dalam Melakar Agenda Bangsa di UNITEN Kampus Putrajaya. Rombongan daripada Pulau Pinang ini diketuai oleh Yang Dipertua merangkap Ketua Perhubungan Negeri iaitu Ustaz Abd Rahim b Sudin.

Rombongan bertolak dari Hospital Seberang Jaya pada pukul 11.30 malam, 29 Januari dengan sebuah bas dan sebuah kereta pelbagai guna dan tiba di UNITEN pada pukul 5.30 pagi. Selepas bersarapan, rombongan terus bergerak menuju ke Dewan Seri Sarjana tempat di mana akan berlangsungnya konvensyen. Setiausaha ISMA Pulau Pinang, Saudara Rozaini b Othman terus membuat pendaftaran di kaunter pendaftaran.

Tepat 9.15 pagi, Presiden ISMA Ustaz Abdullah Zaik b Abdul Rahman telah menyampaikan ucaptamanya. Banyak perkara yang disentuh di dalam ucapannya. Antaranya ialah mengapa ISMA mahu mengetengahkan pemikiran Al Banna dalam negara Malaysia di tengah-tengah kekacauan politik negara ketika ini. Ustaz Abdullah Zaik juga menjelaskan bahawa betapa pentingnya Melayu Islam di Malaysia berkuasa penuh ke atas bumi Malaysia ini. Ucaptama Presiden diakhiri dengan simbolik perasmian konvensyen yang memaparkan tayangan klip ringkas berkaitan Imam As Syahid Hasan Al Banna dan pandangan beberapa tokoh ISMA tentang sosok peribadi mujadid alaf ini.

Sebaik berakhir sesi rehat, Ustaz Mohd Rushdi b Alias tampil sebagai pembentang kertas kerja yang pertama bertajuk ‘Pemikiran Al-Banna dan Ideologi Barat: Pertembungan Dua Agenda’. Diikuti selepas sesi rehat tengah hari ialah pembentangan kertas kerja oleh Ustaz Mohd Hazizi b Abd Rahman yang bertajuk ‘Pandangan Hasan Al-Banna Terhadap Agenda Pembangunan Ummah dan Pelaksanaannya di Malaysia’. Pembentangan kertas kerja diakhiri oleh Ustaz Mohd Fauzi b Asmuni yang membentangkan kertas bertajuk ‘Menilai Kemelut Politik Tempatan Berdasarkan Maqasid Syarak’.

Ketiga-tiga kertas kerja yang dibentangkan oleh tokoh-tokoh ISMA tersebut telah memberi satu anjakan dalam kerangka fikir umat Melayu di Malaysia sebenarnya. Pendapat yang dikemukakan ingin mengejak Melayu kembali bersatu memartabatkan bangsa Melayu yang pernah gemilang suatu ketika dulu dalam landasan Islam. Melayu harus punya jatidiri yang mantap agar Melayu tidak mudah diperkotak katik-katikkan orang lain. Kesemua pembentang bersetuju bahawa bagi menjayakan misi ini dan meletakkan pemikiran Hasan Al Banna dalam kerangka pemikiran Melayu perlukan kepada pembinaan generasi yang berterusan. Semoga apa yang dilontarkan oleh pembentang kertas kerja akan dapat difahami oleh majoriti Melayu di luar sana. Mungkin bukan hari ini, tapi semoga ia akan difahami dalam maksud yang sebenar nanti.

Konvensyen diakhiri dengan bacaan resolusi oleh Saudara Setiausaha Agong ISMA, Aminuddin b Yahya. Lapan resolusi keseluruhannya telah dibentangkan yang antaranya ialah membangunkan bangsa Melayu Muslim menjadi pra syarat kepada kemuliaan Islam di negara ini dan ia mesti menjadi gagasan pemimpin negara.

Habis sahaja pembentangan resolusi oleh Saudara Aminuddin, hampir 3000 peserta bersurai dengan penuh harapan Melayu Islam di Malaysia akan bangkit sebagai satu kuasa di buminya sendiri suatu hari nanti, insya Allah. Semuanya pasti akan dirungkaikan satu persatu bila masing-masing ahli ISMA pulang ke kawasan masing-masing.

Rombongan ISMA Pulau Pinang terus bertolak pulang dan tiba di Hospital Seberang Jaya, tempat kami bertolak pada pukul 2.15 pagi.

Photobucket
Dr. Mohammed Badee’(kiri) bersama Ustaz Mahdi Akef

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah dan selawat serta salam bagi Rasulullah, para sahabatnya dan semua yang mengikutinya.

Ikhwah dan akhawat yang dimuliakan,
Saya dahulukan dengan sapaan Islam yang mulia: Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Dengan kehendak Allah, saya mengambil tanggungjawab yang besar ini, yang telah Allah tetapkan untuk saya, dan dengan permintaan dari gerakan Ikhwan Muslimin (IM) yang saya sahut dengan sokongan dari Allah. Dengan sokongan anggota IM, saya berharap untuk mencapai tujuan-tujuan besar yang kami curahkan seluruh tenaga kami, semata-mata kerana Allah.

Ikhwah dan akhawat,
Saya dahulukan ucapan saya dengan memberi penghormatan kepada guru kita, abang, dan ketua kita yang mulia Ustaz Muhammad Mahdi Akef, Mursyid Am IM yang ketujuh, seorang yang tegas, berdedikasi dan bersemangat tinggi yang telah mengetuai perjalanan pergerakan ini di tengah-tengah ribut dan badai dan telah melepasi segala rintangan, yang mana telah menghasilkan model dan contoh yang baik dan unik kepada semua pemimpin dan pegawai tinggi di dalam kerajaan, pertubuhan dan parti, dengan memenuhi janjinya untuk menyerahkan kepimpinan selepas hanya satu penggal.

Tiada kata-kata mampu menggambarkan perasaan kami kepada pemimpin hebat yang juga murabbi kami dan kami hanya boleh mengucapkan ”Semoga Allah membalas jasa anda dengan balasan sebaiknya dan Allah anugerahkan dengan pahala para Siddiqin”.

Kami ucapkan kepada ikhwah dan akhawat yang dikasihi di seluruh dunia, alangkah baiknya sekiranya anda berada bersama-sama kami semasa peristiwa besar ini berlaku, namun ianya tidak berlaku oleh kerana pelbagai sebab yang di luar kawalan kita, namun kami tetap merasakan kehadiran ruh anda yang sedang mengukir senyuman dan getaran yang jujur dan ikhlas.

Kepada mereka yang kami kasihi yang menghuni penjara kezaliman dan penindasan hanya kerana menegaskan bahawa Allah tuhan kami dan kerana mengangkat maruah, kehormatan dan kemajuan negara mereka, kami berikan sanjungan dan hormat kepada mereka di atas kesabaran, ketabahan dan pengorbanan, yang mana kami yakini tidak sia-sia. Kami doakan hati nurani para penzalim dan penindas sekalian akan tersentuh dan anda berpeluang untuk kembali bersama-sama menyokong usaha kita, semoga Allah merahmati dan melindungi anda semua.

Ikhwah dan akhawat,
Sepertimana yang diketahui semua, matlamat utama Ikhwan Muslimun (IM) ialah perubahan yang menyeluruh dan lengkap, yang akan membetulkan segala kerosakan menerusi islah dan perubahan. ”Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki (islah) sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah” (Hud: 88) dan dengan kerjasama semua punca-punca kuasa dan mereka yang mempunyai semangat tinggi yang tulus terhadap agama dan negaranya.

IM percaya Allah telah meletakkan semua asas yang perlu untuk pembangunan dan kebajikan negara dalam ajaran Islam; maka Islam mestilah menjadi sumber rujukan dan titik tolak bagi pembaharuan, yang dimulakan dengan proses tarbiyah dan melatih disiplin individu muslim, diikuti dengan pembentukan keluarga dan masyarakat muslim dengan mengukuhkan mereka, seterusnya dengan membawa keadilan dan berjihad untuk memerdekakan negara dari segala bentuk penguasaan asing atau penjajahan intelektual, spiritual dan kebudayaan serta penjajahan ekonomi, politik dan ketenteraan. Seterusnya membawa negara ke arah kemajuan, kemakmuran dan meletakkan negara di persada dunia.

Dengan kefahaman Islam yang komprehensif ini, IM telah digambarkan sebagai pergerakan dakwah salafi, pengamal sunnah (toriqah sunniyah), hakikat sufi (haqiqah sufiyyah), parti politik (hai’ah siyasiyah), kumpulan sukan (jamaah riyadhiyyah), persatuan kebudayaan dan ilmiyah (rabitah ilmiyyah thaqafiyyah), dan syarikat perekonomian (syirkah iqtisodiyyah) dan idealisma sosial (fikrah ijtima’iyyah), sepertimana yang telah disebut di dalam Al-Quran: ”Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan” (Al-Qasas:77).

IM memahami bahawa Quran dan Sunnah merangkumi semua peraturan, yang digunapakai dalam segenap aspek kehidupan dan ummah ini perlu memilih yang terbaik untuknya berdasarkan peraturan ini, di mana alternatif dan pilihan fikah boleh berubah mengikut adat kebiasaan, masa dan tempat.

Ikhwah dan akhawat,
Walaupun idea, matlamat dan objektif kami adalah jelas, banyak pihak cuba untuk menggambarkan kami dengan gambaran yang lain, meletakkan matlamat dan objektif yang berbeza terhadap kami; oleh kerana itu, kami selalu memperkenalkan kembali diri kami, prinsip dan pendirian kami terhadap isu semasa.

Saya ingin menyatakan kepada mereka yang mendokong kesatuan jamaah, bahawa mereka yang bekerja untuk Tuhan mereka, agama dan negara haruslah bekerja sebagai satu unit, walaupun memiliki perbezaan pandangan. Mereka yang mengatakan bahawa perbezaan pandangan akan menyebabkan perpecahan atau memberi kesan kepada ukhuwwah, sebenarnya tidak benar-benar memahami IM. Anggota IM telah berjanji dengan Allah untuk bekerja keras demi Allah sebagai satu unit seperti sebuah binaan yang tersusun.

IM bergerak berdasarkan peraturan dan disiplin, yang sentiasa diperbaharui dan diperkemas tanpa melanggar prinsip-prinsip yang asas, dan dalam hal ini IM sentiasa menerima nasihat dan pandangan semua pihak kerana mereka mengikut pepatah ”Allah merahmati mereka yang menunjukkan kekurangan kami”.

Ikhwah dan akhawat,
Saya mahu menyorot dan menekankan beberapa perkara berikut:

• Kami adalah satu Jamaah dari umat Islam dan bukan Jamaatul Muslimin, kerana satu kumpulan tidak boleh memonopoli Islam. Dan alhamdulillah, IM sangat popular di semua negara Arab dan negara Islam kerana pendiriannya yang sederhana yang berpaksikan Qur’an dan Sunnah.

• Dakwah dan pergerakan kami adalah bersangkutan dan saling bersandar antara satu sama lain. Pergerakan kami adalah berdasarkan dakwah kami dan motto kami seperti yang telah disebutkan dalam Qur’an: ”Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu.” (al-Hasyr: 10)

• Kami percaya dengan proses islah secara berperingkat, yang mana ini boleh dicapai dengan perjuangan yang damai dan mengikut lunas undang-undang berdasarkan pujukan dan dialog dan sekali-kali bukan melalui paksaan. Maka kami menolak keganasan dan segala bentuknya samada di pihak kerajaan mahupun individu, daripada organisasi atau institusi.

• IM percaya bahawa sistem undang-undang perlu memberi ruang kepada kebebasan individu, syura atau demokrasi, mendapatkan kedaulatan kuasa dari suara rakyat, mengenalpasti kuasa dan pemisahan antaranya, kerana inilah sistem yang paling hampir dengan Islam dan IM tidak akan menerima alternatif yang lain. Dengan perspektif ini, mereka mengambil bahagian dalam politik negara dan menuntut perubahan sistem politik melalui jalan yang sedia ada dan aman seperti melalui parlimen dan kerja kemasyarakatan yang mereka anggap sebagai satu kewajipan sepertimana kefahaman mereka terhadap agama mereka dan ketulusan mereka terhadap ummah.

• Berkenaan pendirian kami terhadap rejim Mesir, kami menekankan bahawa IM tidak pernah menjadi musuh kepada rejim, walaupun rejim selalu memberi sekatan ke atas mereka, merampas wang mereka dan sering menangkap pemimpin-pemimpin mereka. Walaubagaimanapun IM tidak pernah sedikitpun mengurangkan usaha menentang dasar-dasar yang mendatangkan kerosakan dari segala sudut dan terus menerus memberi pandangan dan nasihat untuk mengharungi krisis yang berterusan ini, yang disebabkan oleh rejim ini. IM membesarkan anak-anak bangsa dengan memberi nilai akhlak, moral dan sentiasa membantu orang lain, yang mana semuanya memberi manfaat kepada ummah, rakyat dan institusi negara.

• IM menekankan bahawa pendirian mereka terhadap apa jua sistem adalah berdasarkan mendokong yang baik dan menolak yang buruk, maka mereka tidak menolak sesuatu semata-mata kerana tidak sukakannya.

• Kepada saudara Kristian kami di dunia Arab dan dunia Islam, pendirian kami sangat jelas bahawa mereka adalah rakan kongsi dan peserta dalam membina tamadun ummah, rakan sekerja kami dalam mempertahankannya, rakan karib dalam pembangunannya, maka berurusan dan bekerjasama dengan mereka adalah satu kewajipan dalam Islam. ”Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (al-Mumtahanah: 8).

• IM percaya bahawa kerakyatan sesuatu negara adalah berdasarkan kerjasama dan kesaksamaan dalam hak dan tanggungjawab, kecuali dalam hal peribadi, yang mana mengikut kepercayaan masing-masing.

• IM menolak dengan keras dan mengutuk segala bentuk keganasan atas dasar agama yang sering terjadi dan menyatakan penolakan terhadap peristiwa yang menyakitkan ini, kerana penganut Kristian dan Muslim adalah satu komuniti dari segi struktur sosial dan budayanya. IM juga menyeru untuk diadakan perbincangan yang telus berkenaan sebab di sebalik ketegangan ini dan mencari penyelesaian untuk menghilangkan sensitiviti keagamaan dan mengembalikan negara menjadi satu unit.

• Berkenaan isu wanita, IM telah dengan jelas selama ini memperjuangkan hak-hak wanita dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. ”Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya” (at-Taubah: 71). Kami menyeru wanita muslim untuk memainkan peranan mereka dan sentiasa mengambil tahu isu semasa kerana ini akan memberi manfaat kepada ummah Islam dan Arab.

• Syura (atau demokrasi) adalah wasilah asas kami, kami bersungguh-sungguh melaksanakannya dan mengukuhkannya. Semua institusi dalam pergerakan ini meletakkan syura dan demokrasi sebagai asasnya, bermula dari majlis di peringkat cawangan sehingga pejabat Maktab Irsyad sendiri. IM menekankan bahawa syura atau demokrasi tidak menghilangkan suara pandangan pihak yang lain, dan mengambil pendapat majoriti sebagai keputusan untuk semua.

• Berkaitan dengan Islam, kerajaan, parti politik, intelektual dan elit budaya, IM percaya bahawa setiap orang harus mengambil bahagian dalam pembangunan dan pembaharuan dan menolak sebarang usaha meminggirkan individu atau persatuan mahupun peranan mereka. Mereka menerima kepelbagaian parti dan kebebasan untuk membentuk sebarang parti tanpa sekatan selagimana ianya masih dalam rangka perlembagaan negara. Mereka percaya dengan peralihan kuasa di antara parti dan kumpulan menerusi pilihanraya yang bebas dan adil kerana negara ini adalah milik bersama dan pembaharuan adalah tanggungjawab setiap individu.

• IM meletakkan isu Palestin sebagai satu keutamaannya dan menganggap isu ini adalah yang terpenting bagi ummah. Kesucian bumi Palestin dan kedudukan Masjid Aqsa di hati kita mengukur tahap kesetiaan kita kepada Islam dan bangsa Arab. IM tidak mengurangkan sedikitpun usaha untuk mengetengahkan isu ini agar ianya menjadi isu utama sistem pemerintahan dan ummah sehingga Palestin merdeka, InsyaAllah.

• IM bersungguh-sungguh menyokong negara Arab dan Islam serta menyokong pendirian mereka yang adil dan isu-isu penting mereka. IM tidak teragak-agak untuk menghulurkan nasihat kepada semua badan dan persatuan Arab atau Islam samada dalam bentuk yang rasmi mahupun secara umum. Mereka juga tidak pernah berhenti berkorban demi Ummah ketika mana diperlukan. Mereka menyeru negara Arab dan Islam untuk bersatu dan bekerjasama menentang projek penjajahan, hegemoni barat dan zionis, sepertimana mereka menyeru untuk kesatuan ummah dan menyelesaikan permasalahan di dalam dan di antara negara Arab dan Islam menerusi dialog dan bukan dengan senjata. Kami mengingatkan saudara kami di Yaman, Sudan, Somalia, Iraq, Lebanon, Afganistan dan Pakistan, bahawa satu-satunya jalan untuk memastikan keselamatan dan keamanan rakyat mereka adalah dengan berdialog dan bersetuju mengenai apakah jalan yang terbaik buat mereka.

• Pendirian kami terhadap sistem global yang dikuasai USA dan barat adalah sangat jelas. Kami tidak bermusuh dengan negara-negara barat, tetapi kami menentang sistem ini kerana ia menuntut demokrasi dan kebebasan untuk rakyatnya manakala menafikannya buat kami. Negara-negara barat menggunakan kekuatan ekonomi untuk mempengaruhi dan mengawal negara kami. Negara Zionis menuntut penghapusan dan penggantian nilai, budaya dan identiti Islam dengan nilai barat, yang mana akan merosakkan iman dan akhlak di negara kami. Kami menyeru ummah untuk bersatu menghadapi Zionis dan projek barat dan mengatasi segala perbezaan ideologi, menghentikan perkauman, dan menolak segala bentuk serangan atau penjajahan terhadap negara Arab atau Islam.

• Kami menuntut sistem global ini diubah menjadi adil dan benar dan terus bekerja ke arah keamanan dan kerjasama di antara bangsa-bangsa dunia dan menyebarkan nilai kebebasan dan keadilan di seluruh dunia. Seperti mana disebut di dalam hadis: ”Setiap kamu adalah anak cucu Nabi Adam, dan Adam dicipta dari tanah” (Hadis riwayat Al-Bazzar). Juga firman Allah: ”Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)” (al-Hujurat: 13). Juga hadis: ”Kaum Arab tidaklah lebih mulia dari yang lain dan begitu juga sebaliknya, orang yang berkulit hitam tidaklah lebih mulia dari yang berkulit putih dan begitu juga sebaliknya, kecuali dalam ketaqwaan” (Hadis riwayat At-Tabarani).

Ikhwah dan akhawat,
Kita melihat masa depan dengan penuh harapan dan keprihatinan.

Harapan adalah slogan hidup mukmin yang benar. Dan ia merupakan bekalan di perjalanan yang panjang, maka kita terus beramal dengan segenap harapan. Kasih sayang dan ukhuwwah merupakan wasilah ikhwan menghadapi kesusahan. Sesungguhnya berputus asa bukanlah sifat mukmin dan berdiam diri bukanlah kualiti seorang mujahid. Keprihatinan kami adalah sama seperti rakyat Mesir, bangsa Arab dan muslim; umat manusia keseluruhannya juga berkongsi keprihatinan yang sama tentang masa depan dunia, yang diancam konflik, wabak dan penyakit, dan para saintis merasa kasihan terhadap dunia kerana pemanasan global, kemarau dan penggurunan. Keprihatinan kami juga terhadap masa depan dunia yang ditadbir dengan polisi kuasa besar yang ingin memimpin dunia secara unilateral selama dua dekad, di mana mereka menyangka mampu mengawal dunia. Namun, mereka dikejutkan dengan darah yang mengalir dan jasad yang bergelimpangan di sebahagian dunia Islam termasuk Afganistan, Iraq, Sudan, Somalia, Lebanon dan Palestin di tambah dengan krisis ekonomi yang tidak putus-putus serta manusia yang hidup dalam kerisauan dan rasa cemas terhadap masa depan mereka dan anak-anak mereka.

Ikhwah dan akhawat,
Rakyat Mesir, bangsa Arab, Muslim dan manusia sejagat meletakkan harapan yang sangat besar kepada anda, anda –dengan izin Allah- mampu untuk menggalas tanggungjawab ini; sejarah telah membuktikan berulang kali tentang kesabaran, ketabahan, ketetapan pendirian dan keberhasilan anda walaupun banyak khabar angin yang tersebar tentang anda.

Tawarkan kepada dunia; Islam yang sebenar, Islam yang membawa toleransi dan kesederhanaan, Islam yang menghormati kepelbagaian beragama, Islam yang menggalakkan saling mengenali dan bekerjasama untuk kebaikan manusia.

Laluilah semua jalan dan gunakan semua wasilah untuk menyampaikan dakwah Islam kepada manusia dan bersungguh-sungguhlah; ”Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujah-hujah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh” (al-Furqan: 52).

Tetaplah berjihad dengan pernyataan-pernyataan, penulisan, pidato, lagu, filem dan drama, dan semua jenis seni yang terarah dan cara yang suci agar kebenaran Islam terserlah dan menolak segala bentuk syubhat. Slogan kita terdapat dalam ayat suci: ”Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk” (an-Nahl: 125). Dan firman Allah lagi: ”Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (al-Ankabut: 46)

Didiklah diri anda dengan nilai dan etika yang murni, jadilah contoh buat masyarakat. Pimpinlah mereka ke jalan Allah dengan menjadi contoh yang baik dan dengan akhlak yang mantap. bekerjasamalah dengan semua pihak dalam membentuk peribadi dan menanam akhlak yang mulia.

Bekerjasamalah dengan mereka yang bekerja untuk kebaikan dan taqwa, bahkan bantulah sesiapa sahaja yang membawa kebenaran, mempertahankan iman dan memerangi kekafiran dan atheisme.

Perbetulkan dirimu dan rumahtanggamu, bersegeralah membuat kebaikan untuk membaiki masyarakat. Perhatikan nasib mereka yang ditindas di merata-rata tempat dan kembalikan hak mereka.
Kembalilah kepada Qur’an yang mulia dan Sunnah Rasulullah yang dijunjung, sirah kehidupan Rasulullah dan dan kehidupan manusia-manusia agung yang lain. Pelajari ia dan dapatkan pengajaran darinya dan perbaiki perjalanan kehidupanmu sentiasa dan sedarlah bahawa Allah sentiasa memerhatikan amalmu dan bukan pada zahirmu. Pertolongan Allah sentiasa menanti, dan ianya amat dekat; ”Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (ar-Rum: 5)

”Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (at-Taubah: 105)

Dr. Mohammed Badee’,

Little Star I

Posted by: ustazrahim on: January 20, 2010

Assalamualaikum wbt

Nazim akan mengadakan Program bagi bulan Januari 2010 iaitu Little Star I yang akan diadakan seperti butir-buitr beikut :

Nama Program : Little Star I
Tempat : Tadika Nazim Bestari, Taman Merbau, Sungai Dua, Seb Perai Utara Pulau Pinang
Masa : 9.00 – 11.00 pagi
Yuran : RM5
Umur : 6 – 12 tahun

Peralatan perlu dibawa : Alat tulis dan pensil warna

Pendaftaran dan sebarang pertanyaan boleh dibuat kepada Ustazah Suryani di talian 0194117884 atau Ustazah Munirah ditalian 0195280178.

Konvensyen Pemikiran Al-Banna

Posted by: ustazrahim on: January 15, 2010

Kem Solat Dan Program Aqiqah

Posted by: ustazrahim on: December 28, 2009

Tasek Gelugor, 24 Disember –

ISMA Pulau Pinang dengan kerjasama AJK Masjid Kampung Baharu, Kampung Selamat buat julung-julung kalinya telah berjaya mengadakan program Kem Motivasi Solat bertempat di Masjid Kampung Baharu, Kampung Selamat pada 24 Dsember yang lalu.

Antara objektif program ini dilaksanakan ialah untuk memperkenalkan nama ISMA serta agensi-agensi di bawah ISMA kepada penduduk setempat di samping memberi khidmat sosial kepada masyarakat seperti gotong royong membersihkan kawasan masjid, ceramah motivasi serta kem ibadah solat.

Program yang bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir jam 10.30 malam ini telah berjaya mengumpulkan ramai penduduk di sekitar qariah Kampung Baharu yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Program dimulakan dengan kem ibadah solat untuk kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah.

Seramai lebih kurang 50 orang peserta telah berjaya mengambil bahagian. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah praktikal wudhu’ dan solat, LDK, pertandingan azan dan iqamah, kuiz dan sebagainya. Fasilitator yang terlibat adalah terdiri daripada ahli KRIM dan PEMBINA. Para peserta dilihat begitu bersungguh-sungguh dan menunjukkan minat yang tinggi semasa mengikuti aktiviti yang dijalankan.

Pada masa yang sama, golongan dewasa bersama ahli ISMA yang lain turut sibuk bergotong-royong memasak makanan tengahari. Seekor lembu telah berjaya ditumbangkan hasil sumbangan ahli-ahli ISMA melalui ibadah aqiqah. Pada sebelah petangnya pula, telah diadakan gotong-royong bagi membersihkan kawasan di sekitar masjid dan kubur yang berdekatan.

Satu ceramah motivasi turut diadakan selepas solat Isyak bagi meningkatkan kesedaran masyarakat setempat tentang tanggungjawab ibubapa dalam mendidik anak-anak mengikut acuan Islam. Sesi ceramah ini dikendalikan dengan menarik sekali oleh motivator yang terkenal iaitu Tn Hj Mohd Ariff dan para hadirin juga amat terhibur dengan penyampaian beliau. Kehadiran masyarakat setempat pada malam tersebut juga amat memberangsangkan.

Sebelum program berakhir, para peserta program telah diberikan sijil dan hadiah manakala penceramah dan Pengerusi Masjid Kampung Baharu diberi cenderahati sebagai tanda penghargaan daripada pihak ISMA Pulau Pinang. Secara umumnya, program yang dijalankan pada kali ini telah mendapat sambutan di luar dugaan terutama oleh penduduk setempat. Sememangnya mereka sentiasa menantikan program-program seperti yang dijalankan ini. Terdapat juga di antara AJK masjid mencadangkan kepada ISMA untuk dijadikan sebagai program tahunan.

Semoga program bersama masyarakat yang dilaksanakan ini mendapat keredhaan ilahi dan seterusnya dapat melonjakkan nama ISMA Pulau Pinang di mata masyarakat umum.

Jaulah PEMBINA P. Pinang ke Lembah Klang

Posted by: ustazrahim on: December 23, 2009

B.B.Bangi, Sabtu, 14 Nov – Kehadiran PEMBINA Pulau Pinang ke Bandar Baru Bangi dalam satu program jaulah anjuran mereka telah disambut dengan baik & meriah oleh PEMBINA Daerah Hulu Langat (DHL). Di samping menyambut tetamu secara tradisi dengan berta’ruf dan menyampaikan sedikit pengisian & perkongsian pengalaman, PEMBINA DHL turut menghidangkan aktiviti riadah sebagai santapan jasmani buat tetamunya kali ini.

Pertemuan kedua cawangan PEMBINA ini bermula dari petang hingga ke malam. Pada sebelah petang, PEMBINA DHL telah menganjurkan program riadah khas untuk menyambut tetamu-tetamu dari Penang ini. Para beliawanis telah berkumpul di Taman Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi untuk beriadah bersama dalam acara-acara sukaneka. Manakala para belia telah disegarkan dengan permainan Futsal 5 sebelah. Permainan Futsal persahabatan ini disusun untuk mempertemukan pasukan Penang menentang tuan rumah dari DHL. Permainan telah dihangatkan dengan pelbagai aksi serta penguasaan permainan yang silih ganti antara pasukan DHL & Penang. Alhamdulillah, PEMBINA P. Pinang telah berpuas hati dengan aktiviti-aktiviti riadah yang telah dipersembahkan oleh PEMBINA DHL.

Pada sebelah malam pula, PEMBINA P. Pinang telah berpeluang untuk mendengar pengisian yang disampaikan sendiri oleh Presiden PEMBINA, Dr. Kamil Azmi Tohiran yang telah sudi untuk meluangkan masa untuk menyambut tetamu dari utara. Beliau, dalam ucapannya, telah menekankan kepentingan melakukan tugas-tugas memperbaiki & membimbing masyarakat, sebagaimana telah diterangkan dalam satu hadis Rasulullah S.A.W., yang mengibaratkan institusi masyarakat seperti sebuah bahtera yang berlayar. Dr. Kamil, yang merujuk penulisan Muhammad Qutb, turut memberi gambaran-gambaran realiti semasa akibat mengabaikan tanggungjawab sosial dalam memimpin masyarakat berlandaskan agama Islam. Akhir sekali, beliau telah menyeru para hadirin untuk berganding bahu agar bersama memikul bebanan dakwah ini yang tak mungkin mampu dilaksanakan secara berseorangan.

Majlis pada malam tersebut juga telah dipengerusikan oleh Ketua Cawangan PEMBINA DHL, Aizuddin Khalid, yang juga turut meluahkan ikatan perasaanya dengan negeri Pulau Pinang kerana sejarahnya bersekolah di Penang serta peranan ayahanda mertuanya yang masih bertugas sebagai pegawai kerajaan di Penang.

Diharap pertemuan yang singkat ini telah cukup untuk menyemai kemanisan iman, pertukaran pengalaman, serta melebarkan rangkaian ukhuwwah dikalangan ahli PEMBINA.

sumber: www.pembina.com.my

IBADAH YANG SAHIH MENJANA AKHLAK YANG MANTAP

Posted by: ustazrahim on: October 19, 2009

Akhlak adalah berpunca daripada hati (qalb, nafs)…Baiknya akhlak ditentukan oleh hati. Bila hati tunduk kepada hawa nafsu, akan berlaku kehancuran kepada manusia.

Dalam satu bait syair Arab, ia menceritakan bagaimana manusia dihimpit oleh kecelakaan, masalah, kehancuran yang disebabkan oleh hati mereka dikuasai hawa nafsu, dunia, harta benda. Antara bait-bait syair tersebut:

“Wahai orang yang berkhidmat untuk jasadnya sahaja;

Berapa banyak kamu telah ditimpa dengan masalah;

Adakah kamu ingin mencari tempat yang tiada keuntungan hanya kerugian sahaja?

Ayuh! tumpukanlah pada jiwa;

Kerana anda adalah manusia yang ada ruh, jiwa;

Bukan manusia yang bersandarkan jasadnya sahaja;

Hulurkan dua tangan anda untuk berpegang kepada tali Allah;

Sekalipun tonggak yang lain mengkhianati anda;

Tetapi tonggak kepada Allah itulah yang teguh.”

Dalam satu hadith, Rasulullah S.A.W. bersabda, “Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” Syeikh Muhammad Al-Ghazali menerangkan dalam kitabnya bahawa keseluruhan risalah Islam tidak menyebut lebih daripada perkara ini iaitu menyempurnakan akhlak yang mulia. Sebagai contoh, ibadah, bukan hanya tergantung kepada gerak geri biasa sahaja ataupun upacara zahir sahaja tetapi yang tersirat daripada ibadat itu adalah akhlak. Ibadah-ibadah yang ada di dalam Islam adalah tidak lebih daripada latihan-latihan untuk memperbaiki akhlak yang mulia.

Contohnya solat. Tujuan disebalik solat adalah:

“dirikanlah solat, sesungguhnya solat dapat mencegah dari perbuatan keji dan munkar…”. Allah menjadikan solat sebagai wasilah untuk menghindarkan diri dari segala perkara munkar dan maksiat. Dengan erti kata lain, solat adalah sebagai pendinding daripada melakukan maksiat.

Begitu juga dengan ibadah zakat. Zakat bukan sahaja dapat menyucikan harta. Bahkan ia juga dapat membersihkan hati. Ini kerana bukannya mudah bagi seseorang itu untuk menyerahkan sebahagian harta yang disayangi kepada orang lain. Ini menjadi bukti kebersihan hati yang dimilikinya.

Hal yang sama juga ada pada ibadah puasa. Puasa bukan hanya menahan diri daripada akan dan minum tetapi daripada perkara-perkara maksiat yang lain seperti mengumpat, mengeluarkan kata-kata yang tidak elok, memfitnah, melihat perkara-perkara yang tidak baik dan sebagainya.

Satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian adalah berkenaan lemahnya akhlak adalah sebagai tanda kepada lemahnya iman. Kalau ibadah yang dilakukan, masih lagi tidak dapat memperbaiki akhlak, ini membuktikan iman yang lemah. Iman yang kuat semestinya dapat melahirkan akhlak yang mantap. Dan setiap amalan baik yang dilakukan akan mengukuhkan iman. Sebab itu “iman yazid wa yanquz” (bertambah dan berkurang) kerana ia bergantung kepada amalan. Sebaliknya, keruntuhan akhlak adalah disebabkan oleh kelemahan iman atau telah terluput langsung iman dalam jiwa.

Sebagai contoh kaitan antara akhlak dan iman, dalam satu hadith, Rasulullah S.A.W bersabda; “Malu dan iman adalah bergandingan (pair, berpasangan); jika salah satu terangkat (tiada), yang satu lagi akan terangkat juga (sebab ia berpasangan).” (Hadith riwayat Hakim dan At-Tabrani).

 Dalam hadith yang lain, Rasulullah pernah bertanya kpd sahabat tentang siapakah orang yang muflis. Para sahabat menjawab orang yang muflis adalah orang tiada duit, harta dan sebagainya Tetapi Rasulullah S.A.W. menyatakan bahawa orang yang muflis pada hari kiamat nanti adalah pahala yang orang tersebut perolehi ketika hidup di dunia telah diambil oleh orang yang pernah dizaliminya ketika di dunia sehingga tiada lagi pahala yang ada padanya. Bahkan, dia akan ditambah dengan dosa orang yang dizaliminya tadi. Begitulah perumpaan muflis di dunia berbanding muflis di akhirat. Muflis di dunia boleh diatasi lagi tetapi muflis di akhirat tidak boleh…

Sebagai kesimpulan, tujuan dan arahan ibadah dalam ajaran Islam adalah untuk memperbaiki akhlak seperti berkasih sayang sesama manusia, haiwan, tumbuhan dan sebagainya. Untuk memperolehi akhalak yang mulia, perlulah melalui tamrin-tamrin (latihan-latihan) yang berterusan seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya serta ditambahkan dengan ibadah sunat yang lain seperti solat sunat.

Konvensyen Pemikiran Al-Banna

PEMBINA PENANG

KRIM PENANG

Koleksi Bulanan