Membina Generasi Harapan

Ilmu syarak yang wajib diketahui oleh setiap muslim

Soalan:
Apakah ilmu syarak yang setiap muslim pada masa kini wajib tahu dan bagaimanakah cara untuk mempelajarinya?

Jawab Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi:

Pendahuluan:
Bismillahir Rahmanir Rahim, Wassalatu wassalam ‘ala Rasulillah:

Setiap muslim hendaklah mempelajari hukum-hakam Bersuci dan Solat, Zakat – bagi orang yang kaya- dan Puasa. Dia juga hendaklah tahu tentang hukum halal dan haram dalam perkara makan, minum, pakaian, perhiasan kehidupan dan sebagainya.

Dia boleh mempelajarinya melalui kaset, CD atau VCD dan buku-buku agama masa kini. Juga, dia boleh mendapatkannya dengan memanfaatkan kemudahan internet tetapi dia perlu memastikan latar belakang orang alim tersebut. Dia hendaklah seorang yang menguasai bidang Fiqh dan Hadis, Maqasid Syariah, luas pengetahuannya dalam pelbagai mazhab Salaf dan Khalaf, lebih cenderung ke arah memudahkan –ketika terdapat dalil-dari menyusahkan dan menyempitkan.

Hendaklah juga seorang muslim itu mempelajari hukum Islam dan syariatnya mengikut keperluannya, seperti hukum-hakam Bersuci dan solat seharian iaitu solat fardhu lima waktu dan solat mingguan iaitu Solat Jumaat yang wajib atas setiap lelaki muslim. Yang diperlukan hanyalah cukup tahu tentang perkara-perkara asas bukan masalah-masalah yang pelik, yang jarang berlaku dan pendetailan yang perlu ditinggalkan permasalahan tersebut kepada para ulama yang khusus dalam bidangnya.

Contohnya, seorang muslim hendaklah tahu tentang hukum-hakam Puasa sebelum datangnya bulan Ramadhan, hukum-hakam Zakat apabila cukup nisabnya, mengikut keperluannya, seperti seorang peniaga perlu mempelajari Zakat Perniagaan dan dia tidak dituntut untuk tahu tentang Zakat Ternakan, Pertanian dan Tanaman. Jika dia sudah berkemampuan untuk mengerjakan Haji maka dia perlu tahu tentang hukum-hakam yang penting tentang Haji.

Hukum Halal dan Haram yang berkait dengan kehidupan seharian:
Dia juga hendaklah mengambil tahu tentang perkara halal dan haram yang berkait dengan kehidupan sehariannya seperti makan, minum, pakaian, perhiasan hidup, rumah, kerjaya dan tatacara hidup berkeluarga dan bermasyarakat. (Kami telah menjelaskannya dalam buku kami “Halal dan Haram dalam Islam” yang telah diulang cetak lebih dari 50 kali dalam Bahasa Arab dan telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa, alhamdulillah) .

Setiap muslim perlu mengetahui hukum-hakam yang berkait dengan dirinya. Seorang pemimpin mesti tahu hukum-hakam kepimpinan, seorang peniaga mesti tahu hukum-hakam perniagaan, seorang doktor mesti tahuhukum-hakam perubatan, seorang suami mesti tahu hak dan kewajipan suami-isteri, begitu juga isteri, seorang bapa mesti tahu hukum-hakam berkaitan keibubapaan dan pendidikan anak, begitu juga ibu.. dan begitulah seterusnya.

Ilmu akhlak dan adab:
Setiap muslim wajib mempelajari ilmu akhlak dan adab yang dapat mendisiplinkan tingkah lakunya dengan kaedah syarak. Maka dia tidak meninggalkan apa yang Allah perintahkan kepadanya dan dia tidak melakukan apa yang Allah larang kepadanya, menghiasi peribadinya dengan akhlak mulia dan meninggalkan sikap yang buruk.

Dia boleh mempelajari ilmu ini sama ada dengan berguru dan mendengar daripada orang alim yang dipercayai dari segi ilmu dan taqwanya serta mempunyai kefahaman yang jelas dalam agama dan kehidupan realiti semasa.

Inilah cara dan kaedah yang perlu diketahui oleh orang awam dan tidak ada pilihan yang lain. Dia hanya perlu memilih orang alim mana yang dia hendak belajar daripadanya.

Orang Islam perlu membezakan di antara orang alim sebagai penceramah yang boleh diambil daripadanya pelbagai nasihat dan peringatan dan orang alim yang faqih yang boleh diambil daripadanya hukum-hakam syarak. Maka bukanlah setiap penceramah dan pemberi nasihat, atau alim dalam tafsir dan hadis, boleh dipercayai dari segi kefaqihannya dan fatwanya.

Sesungguhnya Allah telah membahagikan kelebihan dan kemampuan antara setiap manusia, kecuali bagi sesiapa yang Allah telah anugerahkan kelebihan dan kemampuan dalam pelbagai cabang ilmu, dan bilangan mereka ini hanyalah sedikit.

Ramai orang awam yang keliru dalam hal ini. Mereka sangka semua yang pandai berceramah itu faqih dalam hukum-hakam syarak, maka mereka pun bertanyakan para penceramah ini permasalahan yang rumit, kemudian menjawab persoalan mereka ini berdasarkan ilmu yang cetek, maka mereka telah melakukan kesalahan yang banyak dan besar, tanpa mereka sedari. Kalau mereka insaf, mereka akan mengatakan: “Tanyalah orang lain, kami tidak tahu”. Semoga Allah merahmati sesiapa yang sedar akan kemampuannya dan mengetahui batasnya. Sesungguhnya telah ada satu hadis yang sahih (Muttafaq ‘Alaih) yang menyuruh kita berhati-hati terhadap orang yang ditanya, kemudian diberi fatwa tanpa ilmu, mereka ini sesat dan menyesatkan orang lain.

Pendekatan belajar pada masa kini Antara pendekatan belajar pada masa kini ialah dengan mendengar melalui kaset/cd, ianya merupakan pendekatan yang penting dan berkesan. Seseorang boleh menggunakannya dalam keadaan dia berada di dalam keretanya atau di tempat kerjanya, seorang wanita ketika berada di dapur dan selainnya tanpa perlu bersusah payah bagi tujuan selain pendengaran dan pemahaman yang memerlukan pada penumpuan. Selain itu, pada masa kini terdapat pelbagai rancangan agama yang disiarkan melalui televisyen dan radio, dan juga yang boleh didapati melalui video cd dan audio cd, maka seorang muslim itu hendaklah bijak dalam memilih kaset/cd yang sesuai untuk didengar. Tidak semua kaset/cd agama baik untuk didengar kerana sebahagian dari kaset/cd ini umpama makanan yang telah rosak dan tercemar. Hakikatnya, ianya lebih banyak membawa mudarat dari manfaat, dan meruntuhkan dari membina kerana ia tidak didasarkan pada disiplin ilmiah dan dalil-dalil syarak yang sahih.

Kebanyakan dari kaset/cd seperti ini melampau dalam memberi peringatan tentang azab kubur dan azab hari akhirat, didasarkan atas metodologi menyusahkan dari memudahkan, menakutkan bukan menggembirakan, bukan seperti yang diperintahkan oleh Nabi SAW.

Ada bapa yang menceritakan kepada saya tentang anak perempuannya yang bangun pada tengah malam dalam keadaan mengigau dan takut, dan ini berlaku sejak beberapa tempoh, sejak dia mendengar kaset yang melampau dalam menceritakan azab kubur termasuk apa yang terdapat di dalamnya dengan pelbagai binatang dan serangga yang berbahaya dan berbisa serta macam-macam lagi yang diperkatakan.

Sebagai tambahan, pada masa kini terdapat kemudahan internet yang menyajikan pelbagai maklumat tentang Islam.

Apa yang wajib diawasi Adalah menjadi satu kewajipan bagi kami untuk mengingatkan orang Islam supaya tidak mengambil ilmu agamanya melainkan daripada orang yang dipercayai dar isegi ilmunya dan amalan agamanya dan tidak mengambil ilmu agama daripada sesiapa sahaja. Bahkan seorang muslim hendaklah menapis dan berhati-hati dalam mengambil ilmu agama dari pelbagai sumber. Bukan semua buku yang dicetak dan diterbitkan boleh dipercayai dari segi semakan ilmiahnya. Berapa banyak buku yang telah dicemari dengan perkara-perkara khurafat dan sesat. Antara yang perlu diawasi ialah: Israiliyat dalam Tafsir, hadis-hadis palsu yang direka sebagai Hadis Nabi, cerita dongeng dan kisah mimpi yang tidak logik yang disertakan sekali ketika memberi nasihat dan peringatan.

Maka saya menasihatkan kepada setiap muslim yang mementingkan ilmu pengetahuan yang betul: Jangan mengambil sesuatu hadis melainkan daripada orang yang alim dalam hadis, bukan semua ulama dan penceramah tahu tentang perkara itu.

Adalah baik juga dalam hal ini bagi seorang muslim untuk merujuk buku tentang hadis-hadis masyhur seperti “Al-Maqasid Al-Hasanah” oleh As-Sakhawi atau “Kasyful Khafa’ wa Mazilul Ilbas fi masytuhira minal hadis ‘ala Alsinatin Nas” oleh Al-Ajluni dan seumpamanya.

Belajar melalui pembacaan Seorang muslim juga boleh belajar melalui pembacaan buku-buku karangan ulama yang dipercayai kerana setiap perkataan yang ditulis mempunyai nilai dan kesannya dalam memberi panduan dan menambah pengetahuan. Ia lebih panjang umurnya dan lebih kekal kesannya. Maka seorang muslim hendaklah bijak membezakan antara buku agama yang sesuai dibaca oleh orang awam dan buku agama yang sesuai dibaca oleh golongan yang khusus dalam bidang agama. Terlalu banyak buku yang dicetak saban tahun, baru atau lama, ada yang memberi manfaat dan ada yang memberi mudarat. Maka setiap orang hendaklah buang yang keruh dan ambil yang jernih.

Telah berkata seorang bijak pandai: Anda adalah apa yang anda baca.

Di sini kita mengingatkan tentang bahaya buku yang dibaca sepertimana bahaya kaset/cd yang didengar.

Ada buku-buku yang memang diketahui kemudaratannya dan jelas bahayanya seperti buku-buku karangan golongan Atheis yang ingkar, ada buku-buku umpama meletakkan racun di dalam manisan seperti kebanyakan buku golongan sekular, Marxis dan seumpamanya yang boleh menyesatkan masyarakat Islam awam dari kebenaran dan memperelokkan yang sesat tanpa disedari.

Buku yang paling merbahaya Antara buku yang paling merbahaya untuk dibaca ialah buku-buku agama yang tiada disiplin ilmiah, yang tiada dibuat editan dan semakan, penuh dengan kebatilan, terlalu banyak perkara-perkara melampau dan sesat, yang biasanya disasarkan kepada masyarakat awam, yang tidak mampu untuk membezakan di antara yang baik dan buruk.

Termasuk juga: buku-buku yang ditulis oleh golongan zahir yang melampau dan keras dalam pendapat, yang seolah-olah mahu mengharamkan kepada manusia semua benda yang halal, dengan menggunakan pendekatan menyusahkan bukan memudahkan, menakutkan bukan mengembirakan.

Sepatutnya diadakan satu pengawasan atau kawalan terhadap buku-buku dan terbitan yang disasarkan untuk masyarakat awam ini sepertimana pengawasan dan kawalan terhadap mutu dan kualiti makanan yang tercemar, rosak dan menjejaskan kesihatan. Saya yakin bahawa pencemaran pemikiran lebih berbahaya dari pencemaran tubuh badan.

Selain itu, tidak semua orang ada kebolehan dalam membaca buku-buku klasik. Ia memerlukan kemahiran khusus untuk memahaminya kerana terdapat dalamnya istilah-istilah, perkara-perkara ilmiah yang berhubungan dengan pelbagai disiplin ilmu, sama ada dari segi bahasa, syarak dan mantiq, menyebabkan orang ramai terhalang dari memahaminya. Maka, hendaklah dia berguru dengan orang yang alim, yang dapat membuka kata kuncinya dan meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Barangsiapa yang membacanya seorang diri yang mana dia bukan ahlinya, diumpamakan orang yang berjalan di padang pasir tanpa penunjuk arah, ditakuti dia akan musnah atau hilang.

Oleh itu, para ulama umat ini telah mengingatkan supaya tidak mengambil ilmu daripada golongan penulis yang hanya mendapat ilmu melalui pembacaan buku-buku sahaja tanpa pernah belajar di pusat-pusat ilmu, menjalani kehidupan bersama masyarakat di dalamnya, bergaul dengan para guru dan muridnya. Dengan sebab ini, sebahagian universiti pada masa kini mensyaratkan peratus kehadiran seorang pelajar ke kuliah tidak boleh kurang dari 75% dan tidak diiktiraf sebagai pelajar universiti tersebut jika tidak hadir ke kuliah.

Artikel ini diterjemahkan dari sumber asal:
http://www.qaradawi. net
Fatwa bertarikh 21 September 2004.

2 responses

  1. Zulkifli Yusof

    Assalamualaikum

    Terima kasih atas artikel diatas.
    Salam dari Aussie

    September 26, 2007 at 6:51 am

  2. does anyone knows if there is any other information about this subject in other languages?

    March 28, 2008 at 7:41 am

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s