Membina Generasi Harapan

Rumahtangga Muslim

 Dalam kehidupan di dunia ini, manusia memerlukan satu tatacara hidup yang dapat memberikan kesejahteraan, ketenangan, kebahagiaan dan keselamatan kepada mereka. Tatacara hidup yang dapat merangkumi seluruh aspek kehidupan mereka dari segi akhlak, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Mereka akan berasa selesa dan tenang jika dapat menggabungkan diri dengannya. Segala permasalahan hidup mereka dapat diselesaikan. Begitu juga persoalan-persoalan yang sering berlegar di dalam pemikiran mereka dapat diungkaikan. Justeru itu, Islam telah diturunkan oleh Allah, Tuhan sekelian alam sebagai jawapan kepada semua persoalan tersebut. Ini kerana ia adalah satu tatacara hidup yang sempurna yang mengatasi segala ideologi atau isme-isme yang lain.

 Dalam satu tulisan, Dr. Abdul Karim Zaidan mendefinisikan Islam sebagai satu sistem yang menyeluruh dan lengkap merangkumi semua aspek kehidupan manusia (way of life) dan merupakan dasar kepada sistem akhlak yang mulia yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dari TuhanNYA untuk disampaikan kepada seluruh manusia.

 Seorang muslim perlu memastikan penggabungan dirinya dalam Islam menuntutnya benar-benar muslim dari segi akidah, ibadah dan akhlak. Akidah yang benar dan sah adalah menjadi syarat pertama kepada pengakuan seseorang yang telah menerima Islam sebagai agama yang mengatur hidupnya. Ibadah pula merupakan kemuncak dari perasaan tunduk dan patuh kepada Allah dan klimaks dari perasaan yang merasakan kebesaran Allah sebagai tempat pengabdian diri. Hasil dan tanda dari iman yang sebenar akan lahir akhlak yang mulia. Begitu juga dengan ibadat tanpa akhlak hanyalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai dan faedah.

 Risalah Islam yang diturunkan ini bukanlah hanya terbatas untuk individu sahaja. Bahkan ia juga menuntut umatnya untuk menyebarkan kepada masyarakat sekeliling. Rasulullah SAW bersabda “ Barangsiapa yang tidur dan tidak mengambil berat urusan orang-orang Islam maka beliau bukan dari golongan mereka” (Riwayat Al-Baihaqi)

 Dalam hal ini juga, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna di dalam risalahnya kepada pemuda telah menggariskan tujuh peringkat amal Islam. Secara ringkasnya, ia bermula dengan pembinaan dan pembentukan individu muslim iaitu individu yang sejahtera dari segi akidah, ibadah, akhlak dan perasaannya. Kemudian, individu yang muslim akan dapat membentuk keluarganya bersama-sama dengan isteri atau suaminya dan anak-anaknya selaras dengan tuntutan syariat Islam. Pembentukan yang seterusnya ialah pembinaan masyarakat atau bangsa Islam yang mengamalkan ajaran Islam dengan bersungguh-sungguh dan dalam masa yang sama saling nasihat menasihati antara satu sama lain. Hasil daripada masyarakat Islam yang betul-betul memahami kehendak dan tuntutan agama, maka akan lahirlah sebuah kerajaan yang melaksanakan syariat Islam dan seterusnya negara Islam pula akan muncul. Tidak setakat negara-negara Islam atau daulah islamiyah sahaja yang dicita-citakan oleh seorang muslim, sebuah khilafah islam juga bakal dijelmakan hasil daripada kelompok negara-negara yang ingin mengembalikan sinar Islam. Akhirnya, matlamat yang terakhir yang didambakan oleh seorang yang benar-benar muslim ialah seruan Islam akan tersebar ke seantero dunia tanpa ada ancaman, rasa takut, gelisah dan bimbang. Di kala itu, semua manusia akan merasa bahagia, selamat dan tenteram dengan seluruh ketundukan hanya pada Allah sahaja kerana Dialah Maha Berkuasa lagi Maha Pengasih.

 Itulah proses perubahan yang selamat yang bermula dengan pembinaan seorang individu muslim. Bahkan kaedah inilah yang digunakan oleh Rasulullah SAW dalam menyebarkan risalah Islam yang mulia ini. Bermula dengan seruan dakwah secara sirr atau senyap hinggalah Allah mengarahkan supaya diiklankan dakwah Islam secara terang-terangan. Bertitik tolak dari situlah segala mehnah atau dugaan terpaksa dihadapi oleh baginda Ar-Rasul walaupun yang memeranginya ialah bapa saudara baginda sendiri! Begitulah harga perjuangan baginda Rasulullah S.A.W.

 Sessungguhnya perkahwinan dan pembentukan rumahtangga ini adalah satu titik permulaan dalam mewujudkan sebuah masyarakat mengikut lunas-lunas Islam. Adalah menjadi tanggungjawab kita dalam memastikan rumahtangga yang dibina adalah berdasarkan apa yang digariskan oleh syariat Islam. Kita harus memastikan Islam disampaikan kepada isteri atau suami, anak-anak serta kaum kerabat yang terdekat dan inilah yang dipraktikkan oleh Rasulullah S.A.W. Allah berfirman:

“Oleh itu janganlah kamu menyeru (menyembah) tuhan yang lain di samping Allah yang menyebabkan kamu termasuk golongan orang yang diazab dan berilah peringatan kepada kerabatmu yang terdekat dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu iaitu orang-orang yang beriman.” (Asy-Syu’raa: 213-215)

Oleh itu tugas yang dipertanggungjawab secara langsung ke atas seorang muslim setelah tanggungjawab terhadap diri sendiri ialah tanggungjawab terhadap keluarga, rumah dan anak-anaknya.

 Sebelum membina rumahtangga muslim, beberapa perkara perlu diambil perhatian oleh kita semua agar dapat mencapai matlamat yang diingini. Antaranya ialah perkahwinan yang ingin didirikan perlulah diniatkan kerana Allah dengan tujuan membina rumahtangga muslim. Agar dengannya akan lahirlah keturunan yang soleh yang sanggup memikul amanah Allah. Selain daripada itu tujuan perkahwinan adalah untuk menjaga pandangan dan kehormatan diri baik bagi lelaki atau perempuan. Realiti hari ini, sebelum berumahtangga lagi, hubungan antara lelaki dan perempuan kadangkala melebihi daripada batasan syara’ yang sepatutnya. Berpegang-pegangan tangan, membonceng motosikal bersama-sama, berdua-duaan di tempat yang sunyi tanpa ada segan silu dan perjumpaan tanpa ada mahram adalah aktiviti-aktiviti yang sepatutnya perlu dielakkan. Barangkali, sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat dalam menganggap ikatan pertunangan dapat meng’halal’kan perbuatan seperti itu. Dalam Islam, pertunangan sebenarnya bukanlah tiket untuk menjalin hubungan intim tanpa batasan kerana pergaulan tersebut masih lagi dalam lingkungan hubungan bukan mahram. Pergaulan ini hanya dibolehkan apabila seseorang itu telah melalui proses pernikahan yang sah sahaja. Firman Allah:

“Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat jahat.” (Al-Isra’:32)

 Pemilihan bakal suami dan isteri juga adalah penting dalam proses membina rumahtangga muslim. Pilihlah bakal suami dan isteri yang mempunyai akhlak dan berpegang teguh pada agama sekalipun tiada harta atau kecantikan. Sabda Rasulullah SAW:

“Jangan kamu mengahwini perempuan kerana kecantikannya. Boleh jadi kecantikan mereka akan menjadikan mereka hina. Jangan kamu mengahwini perempuan kerana harta mereka, kerana boleh jadi harta mereka akan menjadikan mereka bersikap zalim, tetapi kahwinlah mereka kerana agamanya. Perempuan hamba yang rabik telinga dan bodoh tetapi beragama adalah lebih baik.” (Riwayat Ibn Majah)

 Setelah berumahtangga pula, seseorang muslim tidak terlepas daripada tanggungjawabnya terhadap pasangan dan anak-anaknya. Kewajipan setiap pasangan adalah untuk memastikan mereka bergaul secara baik sesama sendiri. Pergaulan yang mesra akan menumbuhkan rasa kepercayaan di antara suami isteri. Rasulullah SAW sendiri telah buktikan perkara ini di dalam sabda baginda, “Orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang yang paling berlaku baik terhadap isterinya dari kamu.” (Riwayat Tirmidhi)

Rasulullah SAW sendiri sering bermesra dengan Aishah seperti lumba lari serta menolong Aishah mengerjakan kerja-kerja rumah yang di antara lain menyusun kasut.

Hubungan antara suami dan isteri pula tidaklah hanya terbatas dalam hubungan syahwat sahaja. Bahkan hubungan antara suami isteri dapat mewujudkan persefahaman dalam pemikiran, jiwa dan kasih sayang (mawaddah wa rahmah). Namun, hubungan tersebut perlulah di dalam batas linkungan syarak, tidak menjatuhkan nama baik Islam atau perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah.

 Pada hakikatnya, hasil yang diharapkan daripada terbinanya sebuah rumahtangga muslim ialah untuk mewujudkan suatu generasi yang soleh. Inilah yang difirmankan oleh Allah: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyayang hati (kami) dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Furqaan: 74)

Kejayaan di dalam perkahwinan dan membentuk suami isteri menurut sibghah (acuan) Islam banyak dapat menolong usaha-usaha mendidik anak-anak dengan tarbiyah Islamiyah yang diharapkan.

 Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Apabila tarbiyah yang baik diterima, mereka akan menjadi generasi yang soleh dan begitulah sebaliknya jika tarbiyah yang diterima adalah kurang sempurna. Maka mereka akan tenggelam dalam arus kelalaian dunia. Benarlah sabdaan Rasulullah S.A.W:

“Anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 Sejenak kita menoleh kepada realiti masyarakat yang ada pada hari ini, perkahwinan adalah salah satu langkah yang dapat membendung daripada menularnya kegiatan seks bebas, pergaulan antara lelaki dan perempuan yang tiada batasan, pelacuran, masalah anak luar nikah serta masalah-masalah sosial yang lain. Permasalahan sosial ini adalah rentetan daripada kegagalan manusia sendiri dalam mengawal hawa nafsunya agar tunduk kepada aturan syariat. Iman yang sepatutnya mengawal kehendak hawa nafsu dan bukan sebaliknya. Firman Allah S.W.T:

“Seseungguhnya nafsu amarah itu menyuruh kepada keburukan” (Yusuf: 53)

 Islam telah datang dengan menjadikan perkahwinan yang sah sebagai jalan keluar dan saluran bagi manusia untuk menyalurkan kehendak nafsunya dan keinginannya untuk hidup berpasangan melalui jalan yang halal. Namun, ini hanya dapat direalisasikan jika perkahwinan yang dibina adalah berdasarkan niat atau tujuan yang murni, memahami konsep perkahwinan yang sebenar dan keluarga yang tunduk pada suruhan dan larangan Allah.

 Kesimpulannya, rumahtangga adalah satu unit kecil dalam masyarakat. Kejayaan dalam kehidupan berumahtangga akan melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni, bersatu padu, bertolak ansur dan patuh pada arahan dan larangan Allah. Inilah hasil daripada wujudnya rumahtangga muslim. Wallahua’alam..

 – abu ammar-

 

 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s