Membina Generasi Harapan

Ramadhan dan Tarbiyah

RAMADHAN DAN TARBIYYAH

 Puasa di bulan Ramadhan amat berkait rapat dengan proses tarbiyyah jiwa mukmin. Melalui puasa yang dilalui, pelbagai perasaan yang berkaitan dengan iman seseorang individu akan dapat dirasai. Banyak sekali hadis-hadis Rasulullah SAW yang mengaitkan puasa dengan tarbiyyah apatah lagi dilaksanakan dalam bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah SAWyang maksudnya:

 

“Daripada Abu Hurairah r.a berkata Rasulullah saw bersabda: Puasa adalah perisai (memelihara daripada akhlak yang buruk). Apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah dia  mengeluarkan kata-kata yang tidak elok (mencarut) atau kesat. Jika ada orang memakinya atau mahu membunuhnya, maka katakanlah kepadanya: Sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa”

 

Proses tarbiyyah jiwa mukmin perlu berterusan dan di antara saat atau tempoh yang paling baik untuk mentarbiyyah jiwa adalah dalam bulan Ramadhan. Jiwa yang bersih melahirkan akhlak terpuji. Sebaliknya jiwa yang dikotori dengan dosa akan melahirkan akhlak yang keji. Selain proses mentarbiyyah jiwa untuk menjadi individu muslim yang sejati dan sentiasa melaksanakan ketaatan kepada Allah swt, Ramadhan juga merupakan masa yang sangat sesuai untuk mentarbiyyah ahli keluarga agar sentiasa bermuraqabah (mendekatkan) diri dengan Allah swt. Justeru itu, jangan lepaskan

peluang masa keemasan ini untuk mentarbiyyah ahli keluarga dengan pelbagai wasilah agar ianya akan membentuk keluarga yang barakah dan berpanjangan sehingga akhir hayat.

 

Berikut adalah beberapa tips yang boleh dijadikan panduan agar madrasah Ramadhan dapat mendidik ahli keluarga menjadi insan yang soleh dan musleh:

1. Berpuasa.

Berpuasa di bulan Ramadhan adalah di antara amal ibadat yang paling utama untuk dilaksanakan. Puasa merupakan perisai (memelihara daripada akhlak yang buruk) kepada orang-orang mukmin. Berpuasa akan membantu orang-orang mukmin mengelakkan diri mereka daripada terjerumus melakukan akhlak yang buruk seperti mencarut dan memaki hamun atau berkata dengan perkataan yang kesat kepada orang lain. Sifat dan perasaan mahmudah akan mudah menjelma dan sebati kepada mereka yang berpuasa kerana puasa sebenarnya menyuburkan rasa ketakwaan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183:

 

“Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamuberpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulul daripada kamu, supaya kamu bertakwa”

 

Latihlah anak-anak untuk berpuasa dengan menerangkan pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang akan diberikan kepada mereka yang berpuasa. Selain daripada mendekatkan diri kepada Allah SWT, puasa juga sebenarnya sangat berperanan dalam meningkatkan kesihatan individu. Seorang doktor bernama Mc Phodoun yang mengkaji dan meneliti pengaruh puasa terhadap tubuh manusia ada menyatakan:

“Setiap manusia memerlukan puasa, sekalipun dalam keadaan sakit, kerana racun makanan dan ubat-ubatan jika sudah terhimpun pada diri manusia akan menyebabkan diri seperti terasa berat dan kurang berghairah”

 

2. Solat Tarawih/Witir.

Keistimewaan Ramadhan adalah adanya solat terawih yang tidak ada di bulan-bulan lain. Hukum sunat muakkad sepatutnya digunakan sebaik yang mungkin untuk umat Islam mengaut sebanyak mana yang mungkin pahala daripada melaksanakan solat tarawih ini. Baginda Rasulullah SAW mengerjakan secara berjemaah di masjid bersama dengan para sahabat selama beberapa malam. Pada masa yang sama ada ketikanya Rasulullah SAW melaksanakannya di rumah baginda. Solat tarawih adalah satu fenomena hebat yang dikagumi oleh orang bukan Islam yang hanya berlaku di bulan Ramadhan. Laksanakanlah di masjid secara berjemaah dan ajaklah anak dan isteri untuk bersama-sama melaksanakannya. Walaubagaimanapun solat tarawih boleh dilaksanakan di rumah bersama dengan isteri dan anak-anak, bersama sahabat handai mahupun jiran. Apa yang penting proses tarbiah melalui solat tarawih ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan umat Islam.

 

3. Membaca Al-Quran.

Al-Quran yang diturunkan permulaannya oleh Allah SWT pada 17 Ramadhan kepada Nabi Muhammad SAW merupakan mukjizat yang terbesar dan menjadi petunjuk kepada umatnya. Tiada siapa yang mempertikaikan kalamullah ini dan ianya sentiasa menjadi rujukan kepada setiap permasalahan yang berlaku kepada manusia. Justeru itu, membaca dan menghayati al-Quran serta mentadabburkan

isi kandungannya merupakan satu tuntutan yang perlu dilaksanakan.

Ramadhan adalah saat yang amat baik untuk membaca al-Quran bersama-sama ahli keluarga selain membaca secara bersendirian. Peruntukan masa untuk membaca bersama keluarga; isteri dan anak, mengikut masa yang bersesuaian dengan kehidupan kita yang sentiasa sibuk dengan. pekerjaan harian ini. Saat bersama keluarga walaupun dalam jangkasa masa yang terhad hendaklah digunakan sebaik yang mungkin untuk bersama-sama membaca al-Quran. Di antara cadangan waktu yang sesuai membaca al-Quran bersama keluarga dalam bulan Ramadhan ini ialah:

 

a. Selepas Solat Subuh.

b. Selepas Solat Tarawih.

c. Bila-bila Masa.

Jadikanlah membaca al-Quran bersama keluarga dengan masa mengikut kesesuaian anda! Yang penting, laksanakanlah supaya bulan yang penuh kerahmatan ini tidak berlalu begitu sahaja.

Daripada Ali bin Abi Talib ra berkata:: Rasulullah saw bersabda:

 

“Barangsiapa yang membaca al-Quran lalu dizahirkan (dalam kehidupannya), menghalalkan apa yang dihalalkan oleh al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkan oleh al-Quran, maka Allah akan memasukkanya ke dalam syurga dan dia dapat memberikan syafaat kepada sepuluh orang daripada ahli keluarganya yang sepatutnya dimasukkan ke dalam api neraka”.

 

4. Menghayati Akhlak Ramadhan

Ramadhan membawa seribu rahmat kepada mukmin yang menghayatinya. Ramadhan mendidik mukmin agar sentiasa mengingati saudaranya lain yang amat memerlukan bantuan dan pertolongan. Sebagai sebuah keluarga yang ingin menghidupkan Ramadhan, tarbiyyah kepada diri sendiri, isteri, anak-anak, jiran tetangga, penduduk taman dan masyarakat sekitar perlu diadaptasikan dalam kehidupan seharian. Terapkan dalam jiwa ahli keluarga secara langsung mahupun secara tidak langsung mengenai kepentingan menghayati Ramadhan dengan akhlak-akhlak yang terpuji. Masa sedang berehat dengan keluarga, sedang berjalan ke masjid atau surau, sedang menerima tetamu, sedang menjadi tetamu, apabila waktu berbuka, apabila berada dalam kereta, sedang berjalan di pasar, apabila berada dalam masjid, apabila bersama dengan orang ramai dan masa-masa yang lain; semuanya itu adalah tips-tips masa yang boleh diterapkan kepada anak-anak kita tentang penghayatan akhlak Ramadhan. Di antara akhlak Ramadhan yang perlu dihayati ialah:

a. Belas Kasihan.

Wujudkan dalam diri kita sifat belas kasihan kepada saudara kita di merata dunia yang sedang mengalami penderitaan dan penindasan. Kesatuan perasaan perlu diwujudkan dalam diri kita dengan nasib yang dialami oleh saudara seakidah dengan diri kita. Saudara seakidah kita di Afghanistan, Palestin, Kasymir dan di tempat lain lagi amat memerlukan sumbangan dan bantuan kita semua. Perasaan ini boleh diwujudkan dengan menghulurkan sumbangan kepada mereka. Peruntukkan wang perbelanjaan harian, wujudkan tabung khas di rumah dan didiklah anak-anak dengan memberikan sumbangan kepada yang memerlukan kerana hadis Rasulullah saw ada menyatakan:Maksudnya:

 

“Barang siapa yang tidak mengambil berat perihal orang Islam, dia bukanlah dari kalangan mereka”

Selain sifat belas kasihan kepada manusia, menyemai sifat belaskasihan anak-anak kepada haiwan juga perlu dilaksanakan. Cerita bagaimana seorang lelaki yang diampunkan dosanya oleh Allah SWT kerana memberikan air minuman kepada seekor anjing yang sedang kehausan perlu diberikan agar anak-anak

mengerti dan memahami betapa pentingnya sifat belas kasihan.

b. Memelihara Silaturrahim.

Tautkan hati ibu bapa, adik beradik, sahabat handai, saudara mara, rakan sepejabat, jiran dan komuniti masyarakat di taman dengan ikatan silaturrahim kerana rahmat akan diturunkan kepada mereka yang memeliharanya. Ziarahi mereka dan jika ada kesempatan dan ajaklah mereka untuk berbuka puasa di

rumah kita. Ketibaan Ramadhan juga hendaklah didahului dengan ucapan tahniah dengan kedatangannya dan lakukanlah kepada keluarga kita, adik beradik, sahabat handai, jiran dan kepada mereka yang mengenali diri kita. Ucapkanlah tahniah sempena kedatangan Ramadhan dengan ucapan melalui telefon dan SMS serta nasihatkanlah untuk mempertingkatkan amalan sempena kedatangan Ramadhan al-Mubarak ini. Kepentingan memelihara ikatan silaturrahim ini ada disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Barangsiapa yang suka untuk dipanjangkan usianya dan dimurahkan rezekinya, maka berbuat baiklah kepada kedua ibu bapanya dan peliharalah ikatan silaturrahimnya”

c. Infaq.

Sifat bakhil dan kedekut amat dilarang dalam Islam dan apabila diamalkan ianya menjadi punca kemurkaan Allah SWT. Infaqkanlah harta yang kita miliki kerana ia merupakan bisnes atau perniagaan yang amat menguntungkan. Ubat kepada penyakit bakhil atau kedekut ini ialah yang berlawanan dengannya iaitu dengan cara menginfakkan harta yang kita miliki. Realitinya, kita membelanjakan wang setiap hari bagi perbelanjaan diri sebelum kedatangan Ramadhan dan apa salahnya untuk kita belanjakan wang tersebut dengan menginfakkannya kepada orang lain yang lebih memerlukan. Pahala yang diberikan oleh Allah SWT kepada yang menginfakkan hartanya amatlah besar sekali apatah lagi jika sekiranya dilaksanakan dalam bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya, sedekah (pemberian seorang muslim memanjangkan umurnya, menghindarkannya dari mati yang tidak baik; ia dihindarkan Allah dari kesombongan dan keangkuhan”

(Riwayat at-Tabrani)

Berikan pengajaran dengan menunjukkan contoh teladan kepada anak-anak kita agar mereka tidak kedekut untuk memberikan wang yang dimiliki. Ceritakan betapa besarnya pahala sedekah sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran dan al-Hadis dengan mengutamakan infak kepada yang amat memerlukan.

d. Pemaaf.

Sifat pemaaf adalah satu tuntutan untuk dilaksanakan dan banyak kebaikannya apabila dilaksanakan. Gembirakan orang lain dengan memberikan kemaafan kepada mereka. Hadis Rasulullah SAW ada menyatakan:

Maksudnya: “Daripada Ali ra katanya: Sesungguhnya antara perkara yang boleh mengampunkan dosa-dosa ialah memberi kegembiraan kepada saudara seIslam kamu”

Sifat ini akan mudah diperolehi apabila berada di Madrasah Ramadhan kerana umat Islam saling memahami di atas kepayahan yang dialami kerana berpuasa. Tanamkan dalam jiwa kebaikan memaafkan orang lain dan ganjaran yang akan diberikan. Mulakannya dengan diri anda dan anak-anak anda khususnya apabila mereka bergaduh atau bertengkar sesama sendiri. Tautkan hati anak-anak dengan sifat pemaaf apabilasalah seorang melakukan kesalahan dan jangan biarkan sesuatu pertengkaran berlarutan sehingga membawa kepada kekerasan hati. Hati yang keras menyebabkan seorang muslim payah untuk menerima hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT. Sikap suka memberi maaf akan mudah dibentuk dan disemai ke dalam diri anak-anak dan ia dimulakan dengan kita sebagai ibu atau bapa memaafkan kesilapannya. Galakkan anak-anak kita untuk memberi kemaafan kepada saudara kandungnya dan sahabat-sahabatnya agar sikap ini akan berterusan dan diamalkan dalam kehidupan hariannya.

e. Qanaah.

Nafsu yang menggelojak untuk memenuhi kehendak kehidupan duniawi berkurangan jika sekiranya seorang muslim berpuasa dengan penuh keinsafan di bulan yang mulia ini. Disinilah peranan madrasah ini untuk mendidik jiwa muslim menjadi qanaah (berpada) dengan apa yang dimilikinya dengan tidak memburu kehidupan duniawi yang tidak akan kenal rasa puas bagi mereka yang memburunya. Apatah lagi pemburuan kehidupan duniawi ini adalah satu bentuk yang haram! Biarlah kehidupan duniawi yang membelit kehidupan manusia ini dapat diatasi dengan sifat qanaah dan qanaah ini akan diperolehi dengan lebih mudah melalui ibadat puasa. Tanpa qanaah seorang muslim akan sentiasa mencari dan memburu habuan dunia yang bersifat sementara ini sehingga menyebabkan dirinya terjerumus ke dalam lembah kehinaan sedangkan dunia merupakan jambatan mencapai kejayaaa di akhirat nanti.

f. Berkata Yang Berfaedah.

Ramai yang tidak menyedari bahawa dosa yang mengelilinginyaadalah disebabkan lidah-lidahnya tidak dipelihara dengan baik. Mengumpat dan mengadu domba merupakan diantara akhlak mazmumah yang boleh menyebabkan seseorang terjerumus ke lembah kehinaan. Elakkan diri daripada menjadi golongan yang memakan daging saudara mereka sendiri dan jangan memandang ringan dengan perkataan yang dikeluarkan dari mulut walaupun atas dasar gurauan atau menyampaikan perkhabaran. Kemungkinan dengan hanya satu perkataan kita telah ditentukan kedudukan di akhirat nanti sama ada memperoleh kebahagian atau sebaliknya. HadisRasulullah SAW ada menyatakan:

Maksudnya: “Seseorang lelaki bertutur dengan satu perkataan yang mendatangkan keredhaan Allah dia sedikitpun tidak menyangka akan beroleh ganjaran seperti itu; di mana Allah telah mencatat ganjaran pahala (berupa keredhaan) untuknya sehinggalah ke hari kiamat. Seseorng lelaki bertutur dengan satu perkataan yang mendatangkan kemurkaan Allah dia sedikitpun tidak menyangkan akan beroleh balasan seperti itu; di mana Allah telah mencatat balasan (berupa kemurkaan) untuknya

sehinggalah hari kiamat”

 

5. Qiamullail.

Qiamullail atau menghidupkan malam dengan amal ibadat kepada Allah merupakan satu amal ibadat yang amat dituntut untuk dilaksanakan. Memperbanyakkan al-Quran, solat tahajjud, zikir dan amalan-amalan yang lain merupakan pengisian yang perlu dilaksanakan bagi memastikan malam-malam yang berlalu dipenuhi dengan pengabdian kepada Allah SWT. Keampunan dari Allah hendaklah dipohon apatah lagi di saat-saat yang penuh dengan keberkatan ini. Firman Allah SWT:

Maksudnya: ” Bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu…”

Apabila tibanya Ramadhan, waktu sebelum bersahur adalah paling sesuai untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT walaupun hanya sekadar solat dua rakaat. Pada masa inilah, waktu yang sesuai untuk kita memohon keampunan kepadaNya sebagaimana firman Allah:

Maksudnya: “Dan pada waktu sahur mereka memohon keampunan”

Memohon keampunan dengan penuh jiwa dan raga dengan melakukan taubat kepadaNya merupakan suatu kemestian bagi seorang hamba. Taubat adalah kembali kepada ketaatan setelah melakukan maksiat dan ianya mempunyai beberapa syarat iaitu:

a. Meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat.

b. Menyesali di atas perlakuan maksiat yang telah dilakukan.

c. Berazam untuk tidak mengulanginya.

d. Mengembalikan semula hak yang berkaitan dengan orang lain.

Kejutkan isteri dan anak-anak untuk bersama menghidupkan malam dengan penuh ketakwaan kepada Allah SWT. Jika isteri yang terbangun terlebih dahulu, jangan biarkan suami terus terlena dengan mimpinya yang indah. Jika suami yang terbangun dahulu, bisikkanlah ditelinga isteri untuk sama-sama bangun menghidupkan malam yang penuh keberkatan disepanjang bulan ini. Alangkah indahnya jika suasana seperti dihidupkan dan dijadikan sebagai amalan harian yang bukan sahaja hanya berlaku di bulan Ramadhan sahaja. Sikap meremehkan dan tidak mengambil berat dengan membiarkan malam berlalu tanpa dipenuhi dengan apaapa pengisian adalah merupakan satu kerugian yang perlu dielakkan. Perbanyakkanlah qiam dan doa terutamanya di sepuluh terakhir Ramadhan untuk mendapatkan gandaan pahala di sisi Allah SWT.

6. Iktikaf.

Iktikaf amat dituntut untuk dilaksanakan terutamanya di sepuluh terakhir bulan Ramadhan. Iktikaf bermaksud duduk di dalam masjid sebagai ibadat yang disunatkan dengan niat iktikaf. Maksud firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 125:

“Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang i’tikaf, yang ruku’ dan yang sujud”.

Rasulullah SAW amat menitik beratkan amalan i’tikaf ini terutamanya di sepuluh terakhir bulan Ramadhan. Hadis Rasulullah SAW ada menyatakan:

Maksudnya: “Dari Ibnu Umar ra berkata: Rasulullah SAW biasa beri’tikaf pada sepuluh terakhir hari-hari bulan Ramadhan sehinggalah wafat”

Hukum beriktikaf adalah sunat dan ianya menjadi wajib jika sekiranya seseorang mukmin bernazar untuk melakukan iktikaf. Rasulullah SAW akan beriktikaf di sepuluh terakhir Ramadhan dan amalan ini di sambung oleh para isterinya selepas kewafatan baginda. Apakah matlamat iktikaf? Islam amat menitik beratkan kebersihan hati kerana hati merupakan agen perubahan kepada jasad manusia. Melalui iktikaf yang disertai dengan amalan-amalan mentaqarrubkan (mendekatkan) diri kepada Allah SWT seperti berzikir dan membaca al-Quran serta meninggalkan kesibukan dunia, maka hubungan seorang hamba dengan Allah SWT amat dekat sekali dan sudah tentunya akan menimbulkan keinsafan dalam jiwa seorang hamba. Niatlah dengan penuh keikhlasan untuk beriktikaf di dalam masjid, membaca al-Quran, memperbanyakkan zikir, tafakur,berdoa, bertasbih, bertahmid dan bertakbir agar amalan iktikaf diterima dan seterusnya dapat mendidik jiwa, mendekatkan diri kepada Allah. Elakkan dan hindarkan diri daripada segala perbuatan yang sia-sia dan menjejaskan pahala iktikaf.

Dalam suasana masyarakat di Malaysia yang disibukkan dengan menyambut Aidil Fitri di hari-hari terakhir Ramadhan, maka beruntunglah jika sekiranya kita mengambil kesempatan tersebut dengan melakukan iktikaf. Ini adalah sunnah Rasulullah SAW! Bawalah anak kita sekali untuk bersama duduk beriktikaf disepuluh terakhir bulan Ramadhan di mana-mana masjid yang menganjurkannya. Terdapat masjid-masjid di Malaysia yang menganjurkan program iktikaf disepuluh terakhir Ramadhan dan jangan lepaskan peluang ini,agar sepuluh terakhir tidak berlalu dengan begitu sahaja tanpa dipenuhi dengan ibadat kepadaNya.

7. Peristiwa Bersejarah.

Ceritakan tentang sejarah yang berlaku kepada anak-anak mengenai peristiwa yang berlaku kepada umat Islam di bulan Ramadhan. Kehebatan dan kemenangan umat Islam perlu disebarkan dan diceritakan kepada anak-anak agar mereka memahaminya malah berceritalah apakah kekuatan dan strategi yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan umat Islam sehingga kecemerlangan diraih oleh umat Islam pada masa yang lalu. Banyak peristiwa besar yang berlaku di bulan Ramadhan antaranya ialah peperangan Badar al-Kubra pada tahun 2 hijrah, pembukaan Kota Mekah pada tahun 8 hijrah dan juga peperangan Ain Jalut yang diketuai oleh SultanQutuz.

Badar al-Kubra yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun 2 hijrah menjadi satu iktibar kepada seluruh manusia tentang kekuasaan Allah SWT yang mengatasi segala-galanya. Walaupun dengan kekuatan 313 tentera Islam dan mempunyai kelengkapan peperangan yang amat dhaif jika dibandingkan dengan kekuatan tentera musyrik seramai 1000 orang dan kelengkapan persenjataan yang hebat, akhirnya tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW berjaya mengalahkan musuh. Kehebatan ini perlu diperincikan dan diceritakan supaya anak-anak mengetahuinya dengan lebih lanjut kerana semuanya itu berlaku di bulan Ramadhan. Ketakwaan yang ditunjukkan, ikhtiar yang dilaksanakan dan tawakkal yang tinggi merupakan ramuan yang cukup untuk membuahkan kemenangan. Kaitkan dengan apa yang berlaku disekitar kehidupan yang melanda umat Islam. Kenapakah kehinaan menimpa, kenapakah penindasan berleluasa dan kenapakan kezalimanbermaharajalela. Ini semuanya mendorong anak-anak untuk sentiasa sedar dengan apa yang berlaku dan seterusnya dapat menghindarkan dirinya daripada terus terpedaya dan terpesona dengan kehidupan dunia yang bersifat sementara.

PENUTUP

Bulan Ramadhan kedatangannya amat ditunggu-tunggu dan pemergiannya akan ditangisi. Ditunggu oleh mukmin yang ingin mengejar segala ganjaran dan keistimewaannya dan ditangisi kerana takut tidak dapat menempuhinya pada tahun akan datang. Ramadhan dipermulaannya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan dipenghujungnya adalah pembebasan daripada api neraka merupakan kurniaan Allah SWT kepada hambaNya untuk direbut. Ramadhan juga sebenarnya masa yang amat sesuai untuk mendidik jiwa seorang hamba dan seterusnya melahirkan sifat ketakwaan yang tinggi sehingga memperolehi syurga yang amat dirindui. Rebutlah peluang keemasan ini.

 

oleh: nurhafiza harun (pp_oryza@yahoo.co.uk)

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s