Membina Generasi Harapan

Manhaj Fikrah Hasan Al-Banna: Tiga Unsur Tarbiyah

Manhaj Rasulullah S.A.W hanyalah Al-Quran dan masjid adalah madrasah baginda mengumpulkan para sahabat. Bukannya kolej ataupun universiti. Tetapi dari madarasah inilah mereka mampu menggegarkan dunia sehingga terbina sebuah tamadun yang agung dan hebat. Manusia yang berada di sekeliling Rasulullah S.A.W bukanlah manusia yang berpangkat tinggi, berharta mahupun di kalangan bangsawan. Mereka hanyalah manusia yang miskin, dhaif, hamba dan hanya menggembala kambing. Tetapi mereka sangat hebat dan sangat mulia disebabkan Islam yang mereka anuti.

“…dan bagi ALlah segala ketinggian dan kemuliaan, (begitu juga) Rasul-Nya serta semua orang yang beriman. Akan tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui” (Al-Munafikun: 8).

Hasil daripada rahmat Allah maka lahirlah satu generasi yang unggul pembimbing seluruh dunia. Merekalah umat seperti yang digambarkan oleh As-Syahid Syed Qutb sebagai ‘jiil quraniy al-fariid’ (generasi Al-Quran yang unik). Di dalam benak fikiran mereka mahu mengubah fikrah atau ideologi manusia ke arah fikrah yang baru; mereka mahu membina kemanusiaan yang baru dan mereka juga mahu menghubungkan langit dengan bumi dengan ubudiyyah. Itulah yang mereka mahukan. Mereka meyakini bahawa hanya tarbiyah yang mantap mampu menjana manusia seperti itu.

Tarbiyah yang mantap ditunjangi tiga (3) unsur yang utama: 1) Iman yang sempurna 2) Cinta, kasih sayang, pertautan hati dan ruh antara mereka. 3) Sanggup berkorban, menyerahkan segala apa yang mereka ada kepada Allah.

1) Iman Yang Sempurna.

Iman yang sempurna sudah pasti akan mendorong mereka untuk terus berkhidmat kepada agama Islam dan meninggalkan segala tujuan kecuali tujuan dakwah semata-mata. Mereka peruntukkan segala yang mereka ada hanya untuk dakwah. Mereka tidak tertipu dengan lambakan harta kebendaaan mahupun terpesona dengan kemewahan atau kemajuan ilmu tamadun Rom dan Parsi. Ini kerana mereka mengetahui bahawa Rom dan Parsi berada dalam kesesatan kerana menyembah hawa nafsu, paderi atau pendita dan tuhan selain daripada Allah SWT. Beginilah pandangan para sahabat mengenai masyarakat di sekeliling mereka dan iman sebeginilah yang mereka pelajari di madrasah Rasulullah SAW. Di madrasah ini, mereka diajar supaya berada di atas jalan kebenaran yang nyata. Mereka tidak menyekutukan Allah dan tidak menyembah selain Allah. Mereka tidak menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan tetapi mereka mendidik hawa nafsu supaya tunduk dan patuh kepada arahan Allah SWT. Mereka mengetahui bahawa bumi ini milik Allah dan akan diwarisi oleh sesiapa yang dikehendaki-Nya serta kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Kefahaman sebegini telah menghimpunkan jiwa-jiwa mereka dan menyatukan hati-hati mereka. Maka hilanglah unsur-unsur perbezaan yang memecahbelahkan mana-mana jamaah. Inilah celupan yang baru; celupan Allah:

“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman:” Islam yang telah kami sebati dengannya ialah”): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corakan Islam ); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah?” (Al-Baqarah: 138).

2) Cinta, kasih sayang, pertautan hati dan ruh antara mereka.

Mereka memahami dalam firman Allah: “sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsa” (Al-Hujurat: 13)

 Tidak ada lagi faktor yang boleh memecah belahkan mereka. Tiada sebab untuk mereka bersengketa. Oleh itu, mereka bersatu dan bersaudara di jalan Allah. Tiada antara mereka yang mencela saudara mereka sendiri, bahkan mereka berkasih sayang sehingga sampai ke peringkat ithar (mendahulukan saudara lebih dari diri sendiri). Mereka membaca firman Allah:

 “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri kamu (atau suami kamu) dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab siksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (At-Taubah: 24).

Hasilnya, cinta mereka kerana Allah, marah mereka kerana Allah, mereka memberi kerana Allah, mereka tidak memberi kerana Allah. Jiwa mereka sebati dengan ukhuwwah untuk digunakan memerangi musuh. Begitulah mereka ditarbiyah!

3) Sanggup berkorban, menyerahkan segala apa yang mereka ada kepada Allah.

Mereka ditarbiyah untuk berkorban harta benda dan nyawa mereka sendiri kerana memahami nilai ganjaran hebat yang bakal diraih di syurga nanti. Allah telah menghalalkan harta rampasan perang (ghanimah) kepada mereka. Tetapi ada di kalangan mereka tidak tergamak untuk mengambil hak pembahagian mereka. Sehinggakan Allah menurunkan wahyu-Nya mengenai kebimbangan mereka:

“maka makanlah daripada apa yang kamu telah dapat (dalam peperangan) itu, sebagai benda yang halal lagi baik” (Al-Anfal: 69).

Dengan itu, mereka telah berjaya keluar daripada lembah kehinaan kepada kemuliaan, daripada perpecahan kepada perpaduan dan kejahilan kepada keilmuan dan seterusnya melayakkan mereka menjadi peneraju sebuah tamadun, pembimbing manusia dan penghuni syurga. Semuanya itu mereka perolehi daripada tarbiyah dan tazkiyah (pembersihan jiwa) oleh Rasulullah SAW!

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s