Membina Generasi Harapan

Hari Keluarga 2010

Kulim,  28 Feb – “Ukhuwwah Disemai. Dakwah Dituai”. Begitulah tema bagi Hari Keluarga ISMA Pulau Pinang 2010 yang telah diadakan di Hutan Lipur Bukit Hijau, Kulim pada hari Ahad, 28 Februari 2010 yang lalu. Program yang diadakan setiap tahun ini telah berjaya mengumpulkan seramai lebih kurang 70 orang ahli keluarga ISMA Pulau Pinang.

 Program Hari Keluarga ISMA Pulau Pinang bermula pada jam 10.30 pagi dengan ucapan daripada Pengarah Program iaitu Ustazah Norhayati, Ketua Biro Wanita ISMA Pulau Pinang. Kemudian disusuli pula dengan penyampaian tazkirah oleh Ustaz Mohd Yusof Mohamed yang berkisar tentang Ukhuwwah Islamiyyah. Al-fadhil ustaz menekankan tentang betapa pentingnya ukhuwwah dalam memacu dakwah ISMA Pulau Pinang. Banyak kata-kata oleh Syeikh Mustafa Masyhur, Ahmad Ar-Rasyid dan Abdullah Nasih Ulwan dinukilkan oleh ustaz untuk menambahkan kefahaman para peserta tentang kepentingan ukhuwwah. Seusai sahaja tazkirah, ahli keluarga ISMA Pulau Pinang dihidangkan pula dengan persembahan nasyid oleh para pelajar SMART (Sekolah Menengah Arab Tahfiz) sebagai halwa telinga. Pada masa yang sama, telah diedarkan juga soalan kuiz untuk dijawab oleh semua peserta program.

 

Hari Keluarga ISMA Pulau Pinang diteruskan dengan pelbagai acara sukaneka yang melibatkan anak-anak serta kaum wanita. Keceriaan dan keseronokan jelas terbayang di wajah mereka. Sementara itu, kaum lelaki bekerjasama menyediakan BBQ ayam dan ikan. Mereka juga mengambil kesempatan untuk mandi manda di sungai yang berhampiran.

 Setelah itu, ahli keluarga ISMA Pulau Pinang dijamu dengan juadah makan tengahari. Bagi mengeratkan lagi ukhuwwah, mereka semua menjamu makanan di dalam talam. Selesai sahaja makan tengahari, semua peserta bersiap sedia untuk solat zohor. Bagi menambahkan lagi keunikan program, solat dilaksanakan atas tanah rumput. Setelah solat, program diteruskan dengan aktiviti mandi manda. Tepat pukul 2.30 petang, majlis penutup dan penyampaian hadiah diadakan. Dalam ucapan penutup, YDP ISMA Pulau Pinang, Ustaz Abdul Rahim merakamkan setinggi penghargaan kepada semua peserta yang hadir kerana sanggup meluangkan masa cuti untuk hadir pada program ini. Beliau juga menekankan tentang kepentingan tarbiyah dalam keluarga dan kepada anak-anak serta menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah dalam melaksanakan dakwah.

 Program berakhir pada pukul 3.00 petang. Kesemua peserta program berpuas hati dengan Hari Keluarga pada kali ini. Sekalung tahniah buat jawatankuasa penganjur terutama Biro Wanita ISMA Pulau Pinang kerana berjaya menganjurkan program Hari Keluarga ISMA Pulau Pinang 2010 dengan baik sekali. Jumpa lagi pada tahun hadapan, insyaAllah. Bersama membina generasi harapan.

 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s