Membina Generasi Harapan

Pembina

Career Night – Malam Kerjaya

8 Mei 2010, Sabtu

PEMBINA Pulau Pinang beserta kerjasama jawatankuasa Imtiyaz telah berjaya melancarkan program “Career Night” yang bertempat di Sekolah Menengah Taman Jelutong, Kulim. Program yang julung kali diadakan ini bermula pada jam 8.30 malam sehingga 11 malam dan ianya berjaya menarik kehadiran kira-kira 100 orang pelajar tingkatan 4 dan 5.

 Objektif utama program ini dilaksanakan adalah bertujuan memberi gambaran am kepada para pelajar yang menghampiri gerbang SPM mengenai pelbagai skop kerjaya yang boleh mereka ceburi di masa hadapan. Dua slot khas yang telah dirancang menyediakan peluang kepada 7 para panelis jemputan dari pelbagai bidang untuk berkongsi pengalaman dan menerangkan cara-cara untuk mencapai kejayaan selama 10 minit di slot pertama. Di slot seterusnya, 7 kaunter dibuka di ruang legar sekolah untuk memberi peluang kepada para pelajar mengutarakan persoalan secara ‘face-to face’ kepada ahli panel dalam bidang yang mereka minati. Pelbagai ilmu, nasihat dan pengalaman yang berguna telah berjaya dikongsikan bersama para pelajar yang mengerumuni para panelis dan kelihatan begitu bersemangat mengajukan soalan mengenai kerjaya yang diminati (Kedoktoran, kepeguaman, kejuruteraan, pendidikan (pensyarah), sumber manusia, sains, pengajian agama). Setelah hampir setengah jam lebih slot kedua berjalan, majlis ditamatkan dengan jamuan ringan yang telah disediakan. Para panelis yang hadir pada malam tersebut adalah:

  • EN. KAMALDIN NORDIN                     – MBA  UKM.-HR  MOTOROLA,SINGAPORE
  • Dr. HJH.NORHASIMAH  ISMAIL      – MA  FAMILY MEDICINE  UKM –DOKTOR  PAKAR KELUARGA
  • EN. ROZAINI  OTHMAN                       – MSc  KEJURUTERAAN  MEKANIKAL  USM –PENSYARAH  JABATAN MEKANIKAL  UITM
  • MOHD  REDZA  KHAZALE                   – BA  LAW  UIA
  • KHAIRUL  RIZAL  JAHARI                – BA ELECTRONIC   ENGINEERING,UNI   OF YORK  , UK
  • INTAN  FAIRUZ  ISMAIL                    – BSc  UNIVERSITY  OF  MELBOURNE  &  MONASH  UNIVERSITY AUSTRALIA
  • MOHD  YUSOFF  ABD.MUTALIB      – DIP. TAHFIZ  JAKIM, BA  USULUDIN  UNIVERSITI  IMAN, BA PENGAJIAN  ISLAM  UNIVERSITI  SABA   YAMEN.

 Harapan dari program tersebut adalah untuk menghasilkan pelajar-pelajar yang jelas dengan cita-cita yang mereka impikan. Tanpa matlamat yang jelas, seseorang akan mudah goyah dan tergugat oleh gejala-gejala negatif.

 Rumusan yang berjaya dikaut dari Malam Kerjaya tersebut, para pelajar di peringatkan bahawa keimanan adalah asas segala kerjaya. Ilmu agama bukan hanya untuk diaplikasikan oleh individu-individu dalam bidang kerjaya agama sahaja malah dalam apa kerjaya sekali pun. Islam dan keimanan harus disertakan dan diadun sekata.

 Akhirul kalam, moga bertambahnya mukmin profesional yang terpancar Islam dari dalam dirinya. InsyaAllah.

-sumber: http://pembinapenang.wordpress.com/


Manhaj Fikrah Hasan Al-Banna: Tiga Unsur Tarbiyah

Manhaj Rasulullah S.A.W hanyalah Al-Quran dan masjid adalah madrasah baginda mengumpulkan para sahabat. Bukannya kolej ataupun universiti. Tetapi dari madarasah inilah mereka mampu menggegarkan dunia sehingga terbina sebuah tamadun yang agung dan hebat. Manusia yang berada di sekeliling Rasulullah S.A.W bukanlah manusia yang berpangkat tinggi, berharta mahupun di kalangan bangsawan. Mereka hanyalah manusia yang miskin, dhaif, hamba dan hanya menggembala kambing. Tetapi mereka sangat hebat dan sangat mulia disebabkan Islam yang mereka anuti.

(more…)


Jaulah PEMBINA P. Pinang ke Lembah Klang

B.B.Bangi, Sabtu, 14 Nov – Kehadiran PEMBINA Pulau Pinang ke Bandar Baru Bangi dalam satu program jaulah anjuran mereka telah disambut dengan baik & meriah oleh PEMBINA Daerah Hulu Langat (DHL). Di samping menyambut tetamu secara tradisi dengan berta’ruf dan menyampaikan sedikit pengisian & perkongsian pengalaman, PEMBINA DHL turut menghidangkan aktiviti riadah sebagai santapan jasmani buat tetamunya kali ini.

Pertemuan kedua cawangan PEMBINA ini bermula dari petang hingga ke malam. Pada sebelah petang, PEMBINA DHL telah menganjurkan program riadah khas untuk menyambut tetamu-tetamu dari Penang ini. Para beliawanis telah berkumpul di Taman Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi untuk beriadah bersama dalam acara-acara sukaneka. Manakala para belia telah disegarkan dengan permainan Futsal 5 sebelah. Permainan Futsal persahabatan ini disusun untuk mempertemukan pasukan Penang menentang tuan rumah dari DHL. Permainan telah dihangatkan dengan pelbagai aksi serta penguasaan permainan yang silih ganti antara pasukan DHL & Penang. Alhamdulillah, PEMBINA P. Pinang telah berpuas hati dengan aktiviti-aktiviti riadah yang telah dipersembahkan oleh PEMBINA DHL.

Pada sebelah malam pula, PEMBINA P. Pinang telah berpeluang untuk mendengar pengisian yang disampaikan sendiri oleh Presiden PEMBINA, Dr. Kamil Azmi Tohiran yang telah sudi untuk meluangkan masa untuk menyambut tetamu dari utara. Beliau, dalam ucapannya, telah menekankan kepentingan melakukan tugas-tugas memperbaiki & membimbing masyarakat, sebagaimana telah diterangkan dalam satu hadis Rasulullah S.A.W., yang mengibaratkan institusi masyarakat seperti sebuah bahtera yang berlayar. Dr. Kamil, yang merujuk penulisan Muhammad Qutb, turut memberi gambaran-gambaran realiti semasa akibat mengabaikan tanggungjawab sosial dalam memimpin masyarakat berlandaskan agama Islam. Akhir sekali, beliau telah menyeru para hadirin untuk berganding bahu agar bersama memikul bebanan dakwah ini yang tak mungkin mampu dilaksanakan secara berseorangan.

Majlis pada malam tersebut juga telah dipengerusikan oleh Ketua Cawangan PEMBINA DHL, Aizuddin Khalid, yang juga turut meluahkan ikatan perasaanya dengan negeri Pulau Pinang kerana sejarahnya bersekolah di Penang serta peranan ayahanda mertuanya yang masih bertugas sebagai pegawai kerajaan di Penang.

Diharap pertemuan yang singkat ini telah cukup untuk menyemai kemanisan iman, pertukaran pengalaman, serta melebarkan rangkaian ukhuwwah dikalangan ahli PEMBINA.

sumber: http://www.pembina.com.my


Rehlah PEMBINA P. Pinang

Pada bulan yang lepas, PEMBINA Pulau Pinang telah mengambil inisiatif untuk mengadakan rehlah di kalangan tenaga penggerak di IPT sekitar Pulau Pinang. Objektif utama diadakan rehlah ini adalah untuk mengeratkan ukhuwwah sesama ikhwah penggerak dalam menjalankan aktiviti-aktiviti PEMBINA di Pulau Pinang. Rehlah yang diadakan di Hutan Lipur Sungai Sedim ini telah disertai oleh lebih kurang 10 orang peserta. Bermula dari pukul 10.30 pagi hingga 2.30 petang. aktiviti-aktiviti yang  dijalankan agak simple. Antaranya ialah sesi taaruf, barbeque, mandi manda, solat berjemaah serta tazkirah ringkas. Tazkirah telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Faizal berkisar tentang pemuda muslim. Walaupun rehlah yang dijalankan ini agak santai dan relaks, tetapi ia sedikit sebanyak telah mengukuhkan ikatan ukhuwwah di kalangan ikhwah dalam merancakkan amal PEMBINA di Pulau Pinang.

P5230131P5230130

P5230135P5230139


Hebahan Program: Selangkah Ke Bumi Anbiya’

bannerSKBA4

Bismillah…

Islam sebagai agama yang syumul menitik-beratkan aspek pembangunan insan untuk mewujudkan insan cemerlang, bagi memainkan peranan sebagai hamba Allah di muka bumi. Sejarah telah membuktikan bagaimana Rasulullah telah dengan jayanya membentuk satu generasi yang cemerlang, yang telah mengubah sejarah dunia, membuka dimensi baru dalam kehidupan umat manusia.

Era kegemilangan Islam yang bermula dengan pembentukan kelompok kecil di Mekah hinggalah kepada keluasan jajahan Islamiah yang menaungi hampir 2/3 dunia tidaklah dibina dengan usaha remeh temeh. Antara faktor terpenting yang menyumbang ke arah kejayaan itu adalah itu ialah kesepaduan ukhuwah yang terbentuk antara mereka.

Justeru itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Kolej Teknologi Islam (UNITI) amat meyakini akan pentingnya elemen ukhuwah ini dalam usaha mengembalikan kegemilangan tersebut. Memandangkan betapa pentingnya pelajar-pelajar lulusan Mesir masa kini pada masyarakat, maka perlunya dari awal lagi diadakan program-program yang sedikit sebanyak boleh membantu dan meningkatkan kualiti mereka di sana nanti.

Justeru itu kita cuba merealisasikan usaha ini dengan mengadakan satu program yang telah dirancang dan dinamakan SELANGKAH KE BUMI ANBIYA’ agar boleh menjadi titik tolak kecemerlangan mereka yang sejajar dengan peribadi dan syakhsiah diri yg tinggi.

Sumber: Blog SKBA


Isu Palestin Terus Dijulang

PWTCdipenuhiumatIslamyangprihatin

Kuala Lumpur, 9 Mei – Usaha memperjuangkan isu Palestin di kalangan rakyat Malaysia kini melalui dimensi yang baru dengan penganjuran ‘Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis’ hari ini. Syabas diucapkan kepada Aman Palestin Berhad dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) atas kejayaan membawa agenda ummah ini ke pentas Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Konvensyen ini adalah manifestasi keyakinan dan kesatuan umat Islam dalam berhadapan dengan agenda musuh yang sedang munuju detik-detik kehancuran. Demikian tegas Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Pengerusi Aman Palestin dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), semasa berucap di hadapan lebih 3000 peserta yang hadir dari seluruh pelosok tanahair.

Majlis perasmian ‘Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis’ ini telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Dr Juanda bin Jaya, Mufti Negeri Perlis. Beliau juga sempat merakamkan penghargaan kepada Aman Palestin dan PEMBINA atas inisiatif untuk menyedarkan masyarakat terutama golongan belia akan kepentingan Palestin di sisi umat Islam.
BarisanVVIP

Kesungguhan pihak penganjur terbukti dengan kehadiran tokoh-tokoh antarabangsa dalam isu Palestin ini iaitu Dr. Azzam al-Tamimi (Pengarah Institute of Islamic Political Thought, London), Dr. Mohsen Saleh (Pengarah Besar, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Az-Zaytouna, Lubnan) dan Dr. Roslan bin Mohd Nor (Penerima Anugerah Akademik Institut Al-Makhtoum 2003 & 2006, PhD in ‘Islamic Jerusalem Studies’, Aberdeen University Scotland). Pembentangan kertas kerja yang cukup menarik dan informatif membuatkan para hadirin enggan berganjak dari tempat duduk masing-masing sehinggalah ke petang.

ISMA mengucapkan tahniah kepada Aman Palestin dan PEMBINA atas kejayaan menganjurkan ‘Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis’ ini. Semoga konvensyen ini berhasil membuka perspektif baru dalam mengarus perdanakan agenda perjuangan isu Palestin di kalangan rakyat Malaysia.

Wartawan Media ISMA

Sumber: ISMA Web


RINGKASAN TAFSIR SURAH NUH

Pendahuluan

Surah Nuh mengandungi 28 ayat. Keseluruhan surah ini menceritakan perutusan Nabi Nuh A.S mnyampaikan dakwah kepada kaumnya. Surah ini juga menjelaskan pengalaman pahit getir dakwah Nabi Nuh menghadapi kedegilan dan kesesatan kaumnya yang hanyut di belakang pemimpin-pemimpin yang mempunyai kuasa, harta dan pengaruh yang kuat tetapi sesat dan angkuh untuk menerima kebenaran dan hidayat. Di samping itu, surah ini juga menggambarkan perjuangan yang penuh dengan kesusahan, kepenatan yang menuntut kepada kesabaran, pengorbanan dan kegigihan para rasul dalam menyebarkan dakwah kepada manusia yang sesat, degil, menderhaka, angkuh dan pandai membuat tipu daya dan helah.

 

Sumber risalah dan ‘aqidah (more…)