Membina Generasi Harapan

Umum

RAPAT UMUM SOLIDARITI – END THE SIEGE

Advertisements

Takziah Buat Akh Muhammad Azam Sekeluarga

Seluruh warga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pulau Pinang ingin merakamkan ucapan takziah buat Akh Muhammad Azam sekeluarga di atas pemergian ayah beliau yang telah kembali ke rahmatullah pada 26 April 2010 bersamaan 11 Jamadil Awal 1431 H pada pukul 12.45 pagi di Hospital Kepala Batas. Jenazah Al-Marhum telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pajak Song, Kepala Batas. Al-Marhum juga adalah merupakan ayah mertua kepada Ustaz Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden I ISMA.

Semoga Akh Muhammad Azam dan seluruh keluarga diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini. ISMA Pulau Pinang mendoakan semoga ruh Al-Marhum sentiasa dicucuri rahmat dan mendapat keampunan daripada Allah SWT serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang bertaqwa. Al-Fatihah. 

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Ali-’Imran: 185)


Manhaj Fikrah Hasan Al-Banna: Tiga Unsur Tarbiyah

Manhaj Rasulullah S.A.W hanyalah Al-Quran dan masjid adalah madrasah baginda mengumpulkan para sahabat. Bukannya kolej ataupun universiti. Tetapi dari madarasah inilah mereka mampu menggegarkan dunia sehingga terbina sebuah tamadun yang agung dan hebat. Manusia yang berada di sekeliling Rasulullah S.A.W bukanlah manusia yang berpangkat tinggi, berharta mahupun di kalangan bangsawan. Mereka hanyalah manusia yang miskin, dhaif, hamba dan hanya menggembala kambing. Tetapi mereka sangat hebat dan sangat mulia disebabkan Islam yang mereka anuti.

(more…)


ISMA Pulau Pinang Ke Konvensyen Pemikiran Al Banna

Pada 30 Januari, Sabtu yang lepas seramai 49 orang ahli Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Pulau Pinang bersama ahli-ahli Pertubuhan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) telah menghadiri Konvensyen Pemikiran Al-Banna Dalam Melakar Agenda Bangsa di UNITEN Kampus Putrajaya. Rombongan daripada Pulau Pinang ini diketuai oleh Yang Dipertua merangkap Ketua Perhubungan Negeri iaitu Ustaz Abd Rahim b Sudin.

Rombongan bertolak dari Hospital Seberang Jaya pada pukul 11.30 malam, 29 Januari dengan sebuah bas dan sebuah kereta pelbagai guna dan tiba di UNITEN pada pukul 5.30 pagi. Selepas bersarapan, rombongan terus bergerak menuju ke Dewan Seri Sarjana tempat di mana akan berlangsungnya konvensyen. Setiausaha ISMA Pulau Pinang, Saudara Rozaini b Othman terus membuat pendaftaran di kaunter pendaftaran.

Tepat 9.15 pagi, Presiden ISMA Ustaz Abdullah Zaik b Abdul Rahman telah menyampaikan ucaptamanya. Banyak perkara yang disentuh di dalam ucapannya. Antaranya ialah mengapa ISMA mahu mengetengahkan pemikiran Al Banna dalam negara Malaysia di tengah-tengah kekacauan politik negara ketika ini. Ustaz Abdullah Zaik juga menjelaskan bahawa betapa pentingnya Melayu Islam di Malaysia berkuasa penuh ke atas bumi Malaysia ini. Ucaptama Presiden diakhiri dengan simbolik perasmian konvensyen yang memaparkan tayangan klip ringkas berkaitan Imam As Syahid Hasan Al Banna dan pandangan beberapa tokoh ISMA tentang sosok peribadi mujadid alaf ini.

Sebaik berakhir sesi rehat, Ustaz Mohd Rushdi b Alias tampil sebagai pembentang kertas kerja yang pertama bertajuk ‘Pemikiran Al-Banna dan Ideologi Barat: Pertembungan Dua Agenda’. Diikuti selepas sesi rehat tengah hari ialah pembentangan kertas kerja oleh Ustaz Mohd Hazizi b Abd Rahman yang bertajuk ‘Pandangan Hasan Al-Banna Terhadap Agenda Pembangunan Ummah dan Pelaksanaannya di Malaysia’. Pembentangan kertas kerja diakhiri oleh Ustaz Mohd Fauzi b Asmuni yang membentangkan kertas bertajuk ‘Menilai Kemelut Politik Tempatan Berdasarkan Maqasid Syarak’.

Ketiga-tiga kertas kerja yang dibentangkan oleh tokoh-tokoh ISMA tersebut telah memberi satu anjakan dalam kerangka fikir umat Melayu di Malaysia sebenarnya. Pendapat yang dikemukakan ingin mengejak Melayu kembali bersatu memartabatkan bangsa Melayu yang pernah gemilang suatu ketika dulu dalam landasan Islam. Melayu harus punya jatidiri yang mantap agar Melayu tidak mudah diperkotak katik-katikkan orang lain. Kesemua pembentang bersetuju bahawa bagi menjayakan misi ini dan meletakkan pemikiran Hasan Al Banna dalam kerangka pemikiran Melayu perlukan kepada pembinaan generasi yang berterusan. Semoga apa yang dilontarkan oleh pembentang kertas kerja akan dapat difahami oleh majoriti Melayu di luar sana. Mungkin bukan hari ini, tapi semoga ia akan difahami dalam maksud yang sebenar nanti.

Konvensyen diakhiri dengan bacaan resolusi oleh Saudara Setiausaha Agong ISMA, Aminuddin b Yahya. Lapan resolusi keseluruhannya telah dibentangkan yang antaranya ialah membangunkan bangsa Melayu Muslim menjadi pra syarat kepada kemuliaan Islam di negara ini dan ia mesti menjadi gagasan pemimpin negara.

Habis sahaja pembentangan resolusi oleh Saudara Aminuddin, hampir 3000 peserta bersurai dengan penuh harapan Melayu Islam di Malaysia akan bangkit sebagai satu kuasa di buminya sendiri suatu hari nanti, insya Allah. Semuanya pasti akan dirungkaikan satu persatu bila masing-masing ahli ISMA pulang ke kawasan masing-masing.

Rombongan ISMA Pulau Pinang terus bertolak pulang dan tiba di Hospital Seberang Jaya, tempat kami bertolak pada pukul 2.15 pagi.


ISMA bantah kenyataan Jeff Ooi

7 Ogos 2009

YAB TUAN LIM GUAN ENG,
KETUA MENTERI PULAU PINANG
Tingkat 28, Bangunan KOMTAR,
10503 Pulau Pinang

YAB Tuan,

BANTAHAN TERHADAP KENYATAAN YB EXCO JEFF OOI

Kami merujuk kepada perkara di atas dan kenyataan YB Jeff Ooi terhadap tindakannya mengaitkan pelaksanaan syariah dan Negara Islam sebagai sebuah perbuatan yang ekstremis.

Bagi pihak Pertubuhan, kami amat memandang berat terhadap kenyataan ini dan melihat ia sebagai satu kenyataan yang amat tidak wajar dari seorang Exco kerajaan negeri. Selaku sebuah NGO yang memperjuangkan kemuliaan agama Islam, kami menganggap tindakan Exco berkenaan sudah keterlaluan dan ini akan menjejaskan keharmonian hubungan kaum di negara ini. Kami dengan ini membantah dengan sekeras-kerasnya kenyataan Exco berkenaan dan menuntut YAB Tuan mengambil tindakan yang tegas terhadap beliau.

Selaku seorang yang berpengalaman dan berwibawa, kami yakin YAB Tuan Guan Eng dapat melihat isu ini dari perspektif kepentingan masyarakat seluruhnya bukan pertimbangan politik semata. Keharmonian hubungan kaum mesti dijaga dengan menghormati pelaksanaan agama setiap bangsa di negara ini. Perjuangan demokrasi tidak seharusnya menggadaikan nilai-nilai murni antara kaum. Kami bimbang jika tidak ada tindakan yang sewajarnya diambil maka tindakan-tindakan negatif yang boleh mencemarkan perpaduan kaum mungkin akan diambil oleh pihak-pihak yang ingin melepaskan perasaan mereka. Oleh itu kami menggesa supaya YAB Tuan dapat menjaga nilai-nilai mulia setiap agama ini dan memastikan perpaduan kaum dapat dicapai dengan sebaiknya.

Sekian, terima kasih.

AL-FADHIL USTAZ ABDULLAH ZAIK ABDUL RAHMAN
PRESIDEN
IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA)


Ramadhan Bulan “Broadband”

Assalamualaikum,

Dalam era maklumat, informasi dan teknologi, Ramadhan boleh kita umpamakan sebagai bulan “Broadband” atau Jalur Lebar di mana kita berpeluang untuk “download”atau memuat turun sebanyak-banyaknya rahmat dan keampunan dari Allah swt dan dalam masa yang sama kita juga berpeluang untuk “upload” atau memuat naik segala amal-amal soleh yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan tersebut.

Di dalam bulan Ramadhan terdapat berbagai kebaikan. Perkara ini terbukti dengan begitu ramainya kehadiran umat Islam di segenap masjid dan surau.

Alhamdulillah, inilah yang membuat kita sepanjang tahun merindukan kehadirannya. Kita akan menyaksikan sebuah transformasi penampilan umat Islam yang begitu bermakna.

Kita juga melihat bahwa umat Islam tiba-tiba menjadi :

1. Gemar membaca Al-Qur’an.

2. Gemar memperbanyak amal soleh dan amal ibadah.

3. Gemar bersedekah.

4. Gemar solat Tarawikh.

5. Gemar memerhatikan nasib kaum fakir miskin serta anak yatim.

6. Kaum muslimat pula lebih gemar menghiasi dirinya dengan tudung dan pakaian menutup aurat.

Di segi yang lain pula, keghairahan untuk berbuat perkara keji dan maksiat mengalami penurunan yang drastik. Walaupun tidak dapat dinafikan masih ada di sana sini pihak-pihak yang tetap melakukannya padahal Nabi saw telah bersabda bahwa “syaitan-syaitan dibelenggu, maksudnya jin.”

Oleh kerana itu Imam Al-Qurthubi rahimahullah mengatakan: kemaksiatan itu berlaku disebabkan oleh sejumlah faktor selain dari syaitan :

1. Jiwa manusia yang buruk.

2. Kebiasaan yang tidak baik.

3. Syaitan dari jenis manusia.

Kalau kita pergi ke negara-negara yang penduduk muslimnya minoriti seperti Amerika, Eropah atau Australia, maka kita akan melihat pemandangan yang jauh lebih menyentuh hati. Di tempat-tampat seperti itu umat Islam tampil penuh dengan ruh persaudaraan dan kasih sayang, terutama bila menyambut dan menyediakan acara “ifthar jama’i” atau majlis berbuka bersama di masjid atau Pusat Islam.

Pelaksanaan majlis berbuka di pelbagai Pusat Islam di negara-negara tersebut menjadi sangat menarik kerana biasanya mereka terdiri dari komuniti muslim antarabangsa yang melibatkan kaum muslimin beraneka keturunan dan bangsa. Kemudian anggota masyarakat masing-masing menyumbangkan makanan khas negara masing-masing.

Subhanallah. .! Suatu pemandangan yang sungguh menyentuh hati. Berhimpunlah mereka iaitu muslim yang beraneka warna kulit, bangsa dan bahasa duduk dalam suatu majlis dengan hidangan yang berlatar belakangkan aneka selera antarabangsa.

Semua duduk bersama diikat oleh rasa cinta dan persaudaraan yang dikenali dengan “al-ukhuwwah al-Islamiyyah” iaitu persaudaraan Islam. Duduk bersama di rumah Allah ta’aala yang merupakan Tuhan kepada orang kulit putih mahupun kulit hitam, Tuhan orang Arab mahupun bukan Arab. Semuanya berhimpun semata-mata untuk mengharapkan rahmat dan ridha Allah ta’aala, Tuhan Yang Maha Esa.

Kemudian biasanya kegiatan berbuka puasa di Pusat Islam seperti di atas dijadikan kegiatan “open house” atau rumah terbuka. Maknanya acara tersebut mengundang dan membuka diri bagi kehadiran masyarakat setempat sekalipun mereka bukan muslim. Perkara ini diharapkan dapat menjadi wasilah mengajak mereka mengenali bahkan tertarik dengan ajaran Islam yang penuh dengan nilai-nilai persaudaraan dan cinta yang hakiki.

Hasil penyelidikan membuktikan bahwa seringkali hidayah Allah ta’aala tercurah pada ketika itu sehingga tidak pelik apabila setiap undangan terbuka acara berbuka puasa seperti di atas menyebabkan ada sahaja orang Amerika, Eropah atau Australia yang kemudiannya tersentuh hati lalu masuk Islam kerana memang hanya ajaran Islamlah yang benar-benar sanggup menghimpun dan menyatukan umat manusia dari aneka latar belakang, warna kulit, bahasa, suku, keturunan dan bangsa. Maha Benar Allah ta’aala ketika berfirman:

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (QS Al-Hujuraat : 13)

Maknanya, umat Islam di negara-negara seperti Amerika, Eropah dan Australia sangat kreatif sehingga sanggup memanfaatkan bulan Ramadhan sebagai wasilah berda’wah mengajak kalangan bukan muslim masuk ke dalam rahmat Allah ta’aala, yakni Al-Islam.

Persoalannya :

“Tidakkah kita yang mempunyai penduduk majoriti muslim di negara ini semestinya lebih sanggup lagi untuk merebut hati warga bukan muslim di negara ini melalui pemanfaatan bulan Ramadhan?”

Jawapannya : Semestinya boleh….

Selain itu Ramadhan juga merupakan bulan yang bertaburan dengan rahmat Allah ta’aala. Inilah bulan di mana musuh Allah ta’aala dan musuh orang-orang beriman (yakni syaitan) dibelenggu, pintu-pintu neraka tertutup dan tidak satupun dibiarkan terbuka sedangkan pintu-pintu syurga dibuka dan tidak satupun yang tertutup.

Rasulullah saw bersabda: “Bila tiba malam pertama bulan Ramadhan para syaitan dibelenggu, maksudnya jin. Dan pintu-pintu neraka ditutup dan tidak satupun yang dibuka dan pintu-pintu syurga dibuka dan tidak satupun yang ditutup.” (HR At Tirmidzi)

Hadits Nabi saw di atas membuatkan kita mengerti mengapa setiap kali memasuki bulan Ramadhan umat Islam mengalami transformasi penampilan yang begitu penting.

Sedarkah kita bahwa ini semua hanya membuktikan betapa hebatnya Allah ta’aala mencurahkan rahmatNya bagi umat manusia yang beriman di bulan Ramadhan?

Maka seharusnya kita merenungi fakta ini dalam tafakkur kita. Maka adalah sayugianya kita memanfaatkan detik berharga ini untuk melaksanakan aktiviti terbaik yang Allah ta’aala perintahkan kita melakukannya. Sudah sepatutnya dalam suasana “banjir” rahmat dan keberkatan dari Allah ta’aala ini, kita umat Islam mengingati kembali firman-firman Allah ta’aala berikut:

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah ta’aala, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata, “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri (kaum muslimin).” (QS Fushilat : 33)

“Serulah (manusia) kepada jalan Rabb-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Rabbmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS An Nahl : 125)

Pernahkah kita mencuba untuk menimbulkan rasa empati kepada orang-orang bukan muslim di bulan Ramadhan terutama orang-orang yang selama ini kita anggap tidak mempunyai masalah dengan kita ertinya, mereka tidak termasuk golongan “kafir harbi” (orang kafir yang memusuhi Islam). Tahukah kita bahwa bila tiba bulan Ramadhan, orang-orang seperti ini, hatinya cukup tersentuh menyaksikan umat Islam yang sedang mengalami transformasi penampilan yang bermakna.

Kenapa?

Ini adalah kerana di dalam diri merekapun ada aspek fitrah atau kemurnian jiwa yang ditanamkan oleh Allah ta’aala sedangkan fitrah manusia sentiasa cenderung kepada kebaikan.

Fitrah manusia adalah sesuatu yang mampu mengenalpasti mana perbuatan yang baik dan mana perbuatan yang buruk.

Maka ketika orang-orang bukan Muslim yang bukan musuh ini menyaksikan umat Islam tiba-tiba menjadi rajin beribadah, membaca kitab suci, memperbanyakkan sedekah dan menampilkan perpaduan sosialnya, niscaya di dalam diri mereka muncul perasaan terharu kalaupun tidak dapat dikatakan rasa cemburu. Mereka menjadi cemburu kerana sesungguhnya mereka juga ingin merasakan perkara yang serupa. Itulah sebabnya mengapa sebahagian mereka bahkan ada yang secara ikut-ikutan turut sama “berpuasa” bersama umat Islam.

Maka, dalam detik penuh rahmat dan berkat dari Allah ta’aala ini, mengapa kita tidak cuba memanfaatkannya serta terus menawarkan kepada mereka untuk semuanya masuk ke dalam rahmat Allah ta’aala di bulan yang baik ini?

Sampaikanlah kalimat yang biasa Nabi saw sampaikan:

“Aslim Taslam” ertinya “Masuk Islamlah engkau, niscaya engkau bakal selamat di dunia dan di akhirat”

Dengan kedatangan bulan yang penuh rahmat ini, marilah kita bersungguh-sungguh berperanan menjadi penyebar rahmat Allah ta’aala sebagaimana yang diisyaratkan di dalam Al-Qur’an:

“Dan tidaklah kami mengutus engkau (Muhammad saw) melainkan agar menjadi rahmat bagi semesta alam. ” (QS Al-Anbiyaa : 107)

Inilah hakikat sebenarnya umat Islam menjadi rahmat bagi segenap alam semesta. Kita berusaha untuk berkongsi nikmat yang paling mahal yang dianugerahkan oleh Allah ta’aala, iaitu nikmat iman dan Islam.

Ini adalah kerana kita tidak ingin masuk syurga bersendirian. Kita ingin seramai mungkin manusia turut bersama menuju rahmat dan syurga Allah swt dan untuk meraih rahmat dan syurga Allah swt, tidak ada jalan lain selain dari jalan yang telah ditempuh oleh Nabi Muhammad saw iaitu dengan cara berda’wah kepada manusia dengan menampilkan akhlak yang terbaik sehinga rahmat ini dapat dirasakan dan dikecapi oleh seluruh umat manusia sehingga hari Qiamat.

Ya Allah, kami memahami betapa luasnya rahmat dan keampunanMu di bulan Ramadhan. Berilah kekuatan kepada kami untuk kami mampu menarik rahmat dan keampunanMu itu dengan amal-amal soleh kami serta doa-doa kami. Kami juga mengharapkan semoga amal-amal kami yang naik ke atas di terima olehMu manakala rahmat dan keampunanMu tercurah ke bawah dengan sebanyak-banyaknya menerusi jalur lebar yang tidak bertepi di bulan Ramadhan yang penuh berkat.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS (wan_ahmad2007@yahoo.com)


Musibah…Oh…Musibah

Adalah sesuatu yang pasti iaitu setiap daripada kita tidak pernah lari daripada ditimpa musibah dan bencana. Hatta Rasulullah SAW sendiri tidak pernah lekang daripada dilanda pelbagai musibah. Kadang-kadang kita terfikir, apakah yang membuatkan kita sering sahaja ditimpa berbagai-bagai musibah? Sehinggakan seolah-olah kita merasakan hanya diri kita sahaja yang banyak dilanda musibah. Allah berfirman:

‘Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata “innalillahi wa inna ilaihi raji’un” (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali).’ (Al-Baqarah: 155-156).

Pernah suatu ketika, saya ada menonton satu rancangan yang dikendalikan oleh Dato’ Dr Hj Fadzilah Kamsah dan beliau membicarakan mengenai perkara ini iaitu musibah. Menurut beliau, ada beberapa perkara yang menyebabkan seseorang itu dilanda musibah. Antaranya ialah:

1) Allah sayang kepada kita.

2) Allah mahu menyuci dosa kita disebabkan oleh dosa kita yang banyak.

3) Allah mahu menguji seteguh mana kekuatan iman kita.

4) Allah mahu mengangkat martabat kita.

5) Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya. Tetapi hamba-hambaNya yang menzalimi diri sendiri.

6) Setiap kebaikan bermula dengan musibah.

7) Untuk menyedarkan diri kita yang sentiasa alpa.

8)Kita tidak mengenal diri sendiri. Perlu muhasabah diri tentang kesalahan yang telah kita lakukan.

9) Allah mahu beri yang lebih baik.

10) Sebab terlalu gopoh gapah dalam melakukan sesuatu perkara.

Itu adalah antara 10 perkara yang menjadi punca seseorang ditimpa musibah. Selain daripada itu, Dato’ juga telah berkongsi cara-cara ketika menghadapi sesuatu musibah. Antara teknik atau cara yang boleh digunakan ialah:

1) Menukar paradigma dengan merasakan musibah adalah tanda Allah sayang kepada kita.

2) Cuba menukar keadaan persekitaran kalau ada masalah.

3) Mengambil wudhu’, minum air atau menghirup udara segar.

4) Muhasabah diri. Terus tanya diri sendiri bagaimana musibah boleh menimpa diri kita yang mungkin disebabkan oleh dosa kita.

5) Berkongsi dengan sahabat yang setia.

6) Sentiasa senyum apabila menghadapi musibah.

7) Menunaikan solat taubat dan beristighfar.

8)Memperbanyakkan doa. Jangan sombong untuk berdoa kerana orang yang tidak berdoa boleh dianggap sombong dengan tuhan.

9) Sabar dan redha kerana Allah ingin mengangkat martabat. Ujian yang diberikan Allah adalah berdasarkan kemampuan insan.

10) Menunaikan solat sunat hajat.

11) Cuba lihat kepada orang yang lebih hebat ditimpa musibah.

12) Mendoakan kepada orang lain supaya Allah boleh selesaikan masalah dia.

13) Selalu ziarah untuk eratkan silaturrahim.

14) Menyuci hati dan sentiasa minta nasihat.

15) Jangan lupa untuk membaca ‘innalillahi wa inna ilaihi raji’uun’ ketika ditimpa musibah.

Begitulah kita sebagai insan yang lemah dan serba kekurangan yang tidak dapat mengelak daripada dilanda musibah. Cuma satu perkara yang pasti adalah setiap sesuatu perkara yang berlaku adalah ujian daripada Allah. Allah berfirman: ‘Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan “kami telah beriman” dan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.’ (Al-‘Ankabut: 3-4). Dan ujian Allah adalah berdasarkan kemampuan manusia. Allah berfirman: ‘Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya…’ (Al-Baqarah: 286)

Wallahu ‘alam…

-abuammar80.blogspot.com-