Membina Generasi Harapan

Latest

Takziah Buat Akh Muhammad Azam Sekeluarga

Seluruh warga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pulau Pinang ingin merakamkan ucapan takziah buat Akh Muhammad Azam sekeluarga di atas pemergian ayah beliau yang telah kembali ke rahmatullah pada 26 April 2010 bersamaan 11 Jamadil Awal 1431 H pada pukul 12.45 pagi di Hospital Kepala Batas. Jenazah Al-Marhum telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pajak Song, Kepala Batas. Al-Marhum juga adalah merupakan ayah mertua kepada Ustaz Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden I ISMA.

Semoga Akh Muhammad Azam dan seluruh keluarga diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini. ISMA Pulau Pinang mendoakan semoga ruh Al-Marhum sentiasa dicucuri rahmat dan mendapat keampunan daripada Allah SWT serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang bertaqwa. Al-Fatihah. 

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Ali-’Imran: 185)

Advertisements

Rehlah Nazim 2010

REHLAH NAZIM

Alhamdulillah pada 3hb April 2010 telah berlansungnya rehlah Nazim di Pusat Sukan Dan Rekreasi MPSP di Bukit Mertajam. Bilangan peserta seramai 25 orang beserta tenaga pengiring seramai 7 orang dari kalangan ikhwah dan akhawat.

Program tersebut bermula pada jam 9 pagi dan berakhir selepas solat zohor kira-kira jam 2 petang. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan ialah bacaan doa perjalanan serta makna. Para peserta diminta untuk menghafal doa dan makna tersebut. Seterusnya ialah tazkirah yang disampaikan oleh salah seorang daripada tenaga pengiring, kemudian diiringi pula dengan sorak semangat oleh semua peserta.

Selain itu, pihak ajk Nazimjuga menyediakan acara sukaneka seperti tiup belon, bola beracun, kutip gula-gula dan lumba lari.  Acara seterusnya ialah acara mandi-manda di dalam kolam yang terdapat di tempat tersebut.

Majlis penyampaian hadiah telah berlangsung pada jam 1.15 petang. Selepas majlis tersebut, semua peserta dan ajk telah solat berjemaah sebelum pulang pada jam 2 petang. Semoga segala usaha yang dilakukan mendapat keredhaan Allah S.W.T . Amin….

REHLAH NAZIM

Assalamualaikum wbt.

InsyaAllah Kelab Simba dan Jasmin (NAZIM) Pulau Pinang akan meneruskan aktiviti bagi bulan April dengan mengadakan Rehlah – “Cantiknya Alam”. Butir-butir program adalah seperti berikut :

Nama Program : Rehlah – Cantiknya Alam
Tarikh : 3 April 2010 – Sabtu
Masa : 8.45pg – 2.00 ptg
Tempat : Kompleks Sukan dan Rekreasi SPT, Jln Betek, Bukit Mertajam Pulau Pinang.
Umur : 6 tahun – 12 tahun
Yuran : RM8 seorang
Aktiviti : Sukaneka, Rekacipta, Permainan air, tazkirah, Sorak Semangat, jamuan makan dan lain-lain.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Ustazah Nor Hashimah (0195086268) atau Puan Suryani (0174944834/0194117884)

Ibubapa dialu-alukan untuk menghantar dan menjemput pulang anak masing-masing.

PETA

Hari Keluarga 2010

Kulim,  28 Feb – “Ukhuwwah Disemai. Dakwah Dituai”. Begitulah tema bagi Hari Keluarga ISMA Pulau Pinang 2010 yang telah diadakan di Hutan Lipur Bukit Hijau, Kulim pada hari Ahad, 28 Februari 2010 yang lalu. Program yang diadakan setiap tahun ini telah berjaya mengumpulkan seramai lebih kurang 70 orang ahli keluarga ISMA Pulau Pinang.

 Program Hari Keluarga ISMA Pulau Pinang bermula pada jam 10.30 pagi dengan ucapan daripada Pengarah Program iaitu Ustazah Norhayati, Ketua Biro Wanita ISMA Pulau Pinang. Kemudian disusuli pula dengan penyampaian tazkirah oleh Ustaz Mohd Yusof Mohamed yang berkisar tentang Ukhuwwah Islamiyyah. Al-fadhil ustaz menekankan tentang betapa pentingnya ukhuwwah dalam memacu dakwah ISMA Pulau Pinang. Banyak kata-kata oleh Syeikh Mustafa Masyhur, Ahmad Ar-Rasyid dan Abdullah Nasih Ulwan dinukilkan oleh ustaz untuk menambahkan kefahaman para peserta tentang kepentingan ukhuwwah. Seusai sahaja tazkirah, ahli keluarga ISMA Pulau Pinang dihidangkan pula dengan persembahan nasyid oleh para pelajar SMART (Sekolah Menengah Arab Tahfiz) sebagai halwa telinga. Pada masa yang sama, telah diedarkan juga soalan kuiz untuk dijawab oleh semua peserta program.

 

Hari Keluarga ISMA Pulau Pinang diteruskan dengan pelbagai acara sukaneka yang melibatkan anak-anak serta kaum wanita. Keceriaan dan keseronokan jelas terbayang di wajah mereka. Sementara itu, kaum lelaki bekerjasama menyediakan BBQ ayam dan ikan. Mereka juga mengambil kesempatan untuk mandi manda di sungai yang berhampiran.

 Setelah itu, ahli keluarga ISMA Pulau Pinang dijamu dengan juadah makan tengahari. Bagi mengeratkan lagi ukhuwwah, mereka semua menjamu makanan di dalam talam. Selesai sahaja makan tengahari, semua peserta bersiap sedia untuk solat zohor. Bagi menambahkan lagi keunikan program, solat dilaksanakan atas tanah rumput. Setelah solat, program diteruskan dengan aktiviti mandi manda. Tepat pukul 2.30 petang, majlis penutup dan penyampaian hadiah diadakan. Dalam ucapan penutup, YDP ISMA Pulau Pinang, Ustaz Abdul Rahim merakamkan setinggi penghargaan kepada semua peserta yang hadir kerana sanggup meluangkan masa cuti untuk hadir pada program ini. Beliau juga menekankan tentang kepentingan tarbiyah dalam keluarga dan kepada anak-anak serta menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah dalam melaksanakan dakwah.

 Program berakhir pada pukul 3.00 petang. Kesemua peserta program berpuas hati dengan Hari Keluarga pada kali ini. Sekalung tahniah buat jawatankuasa penganjur terutama Biro Wanita ISMA Pulau Pinang kerana berjaya menganjurkan program Hari Keluarga ISMA Pulau Pinang 2010 dengan baik sekali. Jumpa lagi pada tahun hadapan, insyaAllah. Bersama membina generasi harapan.

 

Little Star 1: Lembaran Baru 2010 Kelab Simba dan Jasmin (NAZIM)

Pada 23 Januari 2010 Kelab Simba dan Jasmin telah memulakan programnya dengan  Program Little Star 1 bermula jam 9 hingga 11.30 pagi di Tadika Nazim Bestari Sungai 2. Dengan peserta seramai 24 orang program berjalan dengan lancar. Simba-simba dan bebunga jasmin menyahut cabaran para pelaksana program dan  terpancar kegembiraan serta kepuasan dalam diri mereka.

Program bermula dengan taklimat dan tazkirah oleh Ustazah Munirah sebagai pengarah program. Ustazah Munirah dengan bersemangat menceritakan tentang NAZIM kepada peserta serta memberi sedikit nasihat dalam sesi tazkirahnya.

Program diteruskan kepada pengisian yang bertajuk ‘Kebesaran Allah’ disampaikan oleh Cikgu Nurul Akmar. Peserta dilihat teruja dengan nasyid yang digunakan oleh Cikgu Nurul Akmar untuk menceritakan tentang kebesaran Allah. Para peserta juga diuji kebolehan melukis dengan disuruh melukis alam kebesaran Allah.

Peserta juga diuji bacaan dalam solat. Mereka dibahagi kepada beberapa kumpulan dengan dibimbing oleh seorang fasilitator bagi setiap kumpulan.

Bagi merehatkan minda buat seketika, peserta lelaki bermain bola sepak di perkarangan tadika. Di sini dapat dilihat ketangkasan simba mengelecek dan menampan bola. Aktiviti seterusnya adalah kemahiran diri. Peserta diminta menyiapkan makanan dan minuman sendiri. Menu utama adalah sandwich sardin dan air bandung berkarbonat. Begitu teruja para peserta menyiapkan juadah mereka.Pasti mereka tidak sabar untuk menunjukkan kebolehan mereka di rumah pula.

Program diakhiri dengan peserta bersalam-salaman dengan rakan-rakan dan kembali ke rumah masing-masing dengan semangat baru.

Manhaj Fikrah Hasan Al-Banna: Tiga Unsur Tarbiyah

Manhaj Rasulullah S.A.W hanyalah Al-Quran dan masjid adalah madrasah baginda mengumpulkan para sahabat. Bukannya kolej ataupun universiti. Tetapi dari madarasah inilah mereka mampu menggegarkan dunia sehingga terbina sebuah tamadun yang agung dan hebat. Manusia yang berada di sekeliling Rasulullah S.A.W bukanlah manusia yang berpangkat tinggi, berharta mahupun di kalangan bangsawan. Mereka hanyalah manusia yang miskin, dhaif, hamba dan hanya menggembala kambing. Tetapi mereka sangat hebat dan sangat mulia disebabkan Islam yang mereka anuti.

Read the rest of this page »

ISMA Pulau Pinang Ke Konvensyen Pemikiran Al Banna

Pada 30 Januari, Sabtu yang lepas seramai 49 orang ahli Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Pulau Pinang bersama ahli-ahli Pertubuhan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) telah menghadiri Konvensyen Pemikiran Al-Banna Dalam Melakar Agenda Bangsa di UNITEN Kampus Putrajaya. Rombongan daripada Pulau Pinang ini diketuai oleh Yang Dipertua merangkap Ketua Perhubungan Negeri iaitu Ustaz Abd Rahim b Sudin.

Rombongan bertolak dari Hospital Seberang Jaya pada pukul 11.30 malam, 29 Januari dengan sebuah bas dan sebuah kereta pelbagai guna dan tiba di UNITEN pada pukul 5.30 pagi. Selepas bersarapan, rombongan terus bergerak menuju ke Dewan Seri Sarjana tempat di mana akan berlangsungnya konvensyen. Setiausaha ISMA Pulau Pinang, Saudara Rozaini b Othman terus membuat pendaftaran di kaunter pendaftaran.

Tepat 9.15 pagi, Presiden ISMA Ustaz Abdullah Zaik b Abdul Rahman telah menyampaikan ucaptamanya. Banyak perkara yang disentuh di dalam ucapannya. Antaranya ialah mengapa ISMA mahu mengetengahkan pemikiran Al Banna dalam negara Malaysia di tengah-tengah kekacauan politik negara ketika ini. Ustaz Abdullah Zaik juga menjelaskan bahawa betapa pentingnya Melayu Islam di Malaysia berkuasa penuh ke atas bumi Malaysia ini. Ucaptama Presiden diakhiri dengan simbolik perasmian konvensyen yang memaparkan tayangan klip ringkas berkaitan Imam As Syahid Hasan Al Banna dan pandangan beberapa tokoh ISMA tentang sosok peribadi mujadid alaf ini.

Sebaik berakhir sesi rehat, Ustaz Mohd Rushdi b Alias tampil sebagai pembentang kertas kerja yang pertama bertajuk ‘Pemikiran Al-Banna dan Ideologi Barat: Pertembungan Dua Agenda’. Diikuti selepas sesi rehat tengah hari ialah pembentangan kertas kerja oleh Ustaz Mohd Hazizi b Abd Rahman yang bertajuk ‘Pandangan Hasan Al-Banna Terhadap Agenda Pembangunan Ummah dan Pelaksanaannya di Malaysia’. Pembentangan kertas kerja diakhiri oleh Ustaz Mohd Fauzi b Asmuni yang membentangkan kertas bertajuk ‘Menilai Kemelut Politik Tempatan Berdasarkan Maqasid Syarak’.

Ketiga-tiga kertas kerja yang dibentangkan oleh tokoh-tokoh ISMA tersebut telah memberi satu anjakan dalam kerangka fikir umat Melayu di Malaysia sebenarnya. Pendapat yang dikemukakan ingin mengejak Melayu kembali bersatu memartabatkan bangsa Melayu yang pernah gemilang suatu ketika dulu dalam landasan Islam. Melayu harus punya jatidiri yang mantap agar Melayu tidak mudah diperkotak katik-katikkan orang lain. Kesemua pembentang bersetuju bahawa bagi menjayakan misi ini dan meletakkan pemikiran Hasan Al Banna dalam kerangka pemikiran Melayu perlukan kepada pembinaan generasi yang berterusan. Semoga apa yang dilontarkan oleh pembentang kertas kerja akan dapat difahami oleh majoriti Melayu di luar sana. Mungkin bukan hari ini, tapi semoga ia akan difahami dalam maksud yang sebenar nanti.

Konvensyen diakhiri dengan bacaan resolusi oleh Saudara Setiausaha Agong ISMA, Aminuddin b Yahya. Lapan resolusi keseluruhannya telah dibentangkan yang antaranya ialah membangunkan bangsa Melayu Muslim menjadi pra syarat kepada kemuliaan Islam di negara ini dan ia mesti menjadi gagasan pemimpin negara.

Habis sahaja pembentangan resolusi oleh Saudara Aminuddin, hampir 3000 peserta bersurai dengan penuh harapan Melayu Islam di Malaysia akan bangkit sebagai satu kuasa di buminya sendiri suatu hari nanti, insya Allah. Semuanya pasti akan dirungkaikan satu persatu bila masing-masing ahli ISMA pulang ke kawasan masing-masing.

Rombongan ISMA Pulau Pinang terus bertolak pulang dan tiba di Hospital Seberang Jaya, tempat kami bertolak pada pukul 2.15 pagi.